Tempoh masa berpuasa di seluruh dunia
Astro Awani
Mei 16, 2018 20:31 MYT
Mei 16, 2018 20:31 MYT
UMAT Islam di kebanyakan negara di seluruh dunia akan mula berpuasa esok, 17 Mei.
Namun di sesetengah negara yang mana menggunakan pengiraan astronomi untuk menentukan permulaan Ramadan seperti Amerika Syarikat, mereka mula berpuasa pada Rabu, 16 Mei.
Di Malaysia, jangka masa berpuasa adalah lebih kurang selama 13 hingga 14 jam. Negara-negara yang berada dalam tempoh berpuasa yang sama adalah seperti Singapura, Indonesia dan Afrika Selatan.
Umat Islam yang menjalani ibadah puasa perlu mematuhi syarak puasa berdasarkan maksud 'menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, berserta niat'.
Begitupun, perbezaan geografi dan jarak kedudukan dengan garis waktu membuatkan tempoh berpuasa itu berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain.
Paling pendek tempohnya kali ini adalah bagi umat Islam di Argentina dan New Zealand yang hanya berpuasa selama kira-kira 11 jam.
Waktu Imsak di Argentina ialah pada jam 6.08 pagi dan berbuka pada jam 5.56 petang, manakala di New Zealand pula, waktu imsak ialah pada jam 5.44 pagi dan berbuka pada jam 5.05 petang.
Bagi umat Islam di negara-negara seperti Mexico, Sudan dan Yemen, mereka perlu berpuasa antara 14 hingga 15 jam.
Umat Islam di negara-negara seperti Kuwait, Qatar, India dan Bahrain pula akan berpuasa selama 15 hingga 16 jam.
Tempoh puasa selama 16 hingga 17 jam pula adalah di negara-negara seperti Syria, Afghanistan, Maghribi, Mesir, Palestin, Tunisia dan Pakistan.
Namun tahukah anda, ada penduduk Islam di sesetengah negara lain perlu menjalani ibadah puasa antara 20 hingga 21 jam?
Oleh kerana waktu siang yang lebih panjang, cabaran berpuasa tentu sedikit berbeza bagi mereka yang berada di Iceland dan Norway.
Jika ada umat Islam di Norway, mereka perlu berpuasa bermula jam 1.56 pagi sehingga 11.47 malam, manakala di Norway mereka perlu berpuasa dari jam 2.09 pagi sehingga 10.29 malam.
Berikut adalah senarai lima negara dengan tempoh berpuasa paling singkat dan paling lama.