Temerloh lubuk emas usahawan pelancong

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 4, 2018 18:16 MYT
Antara pusat pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Temerloh adalah Kampungstay Desa Murni yang menerapkan elemen hijauan kampung. -Astro AWANI/ Siti Nursyazwani
Temerloh dikenal pasti antara bandar di Pahang yang menerima kedatangan pelancong tertinggi di negeri itu.
Dari 201,844 jumlah pelancong pada 2016 kepada 273,254 pada 2017, ia jelas menunjukkan bandar ikan patin ini masih laku untuk pengunjung datang dan meluangkan masa melawat kawasan-kawasan menarik di situ.
Menurut laporan statistik pelancongan di Pahang, Temerloh menerima kunjungan pelancong yang meningkat setiap tahun.
Antara pusat pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Temerloh adalah Kampungstay Desa Murni yang menerapkan elemen hijauan kampung.
Pengarah urusannya, Khairul Hakimin Shariman ketika ditemui Astro AWANI memberitahu, pusat pelancongannya memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung yang datang.
“Pelancong yang datang akan dapat merasai suasana kampung yang nyaman dan aman damai dan berpeluang merasai pengalaman memetik buah-buahan dari dahannya.
“Menurut rekod kunjungan pelancong di Kampungstay ini, sambutannya agak memberangsangkan kerana kami juga menerima kunjungan pelancong dari luar negara seperti Jepun, Arab dan Thailand,” katanya.
Di pusat bandar pula, Mini Waterpark Kubang Gajah menjadi tarikan kepada keluarga yang mahu meluangkan masa bersama anak-anak untuk berseronok dalam taman tema air pada harga sangat berpatutan.
Pemiliknya, Mohd Rafi Ekramuddin memberitahu industri pelancongan di Temerloh menawarkan peluang ekonomi yang besar kepada penduduk setempat.
“Sebenarnya kami tak sangka taman rekreasi air ini mendapat sambutan. Justeru jika diberi peluang kami akan memperluaskan perniagaan kami.
“Ini kerana dengan sambutan luar biasa ini, ia juga akan memberi kesan limpahan kepada penduduk setempat terutamanya dari segi ekonomi.
“Kalau pelancong datang mandi-manda, lepas itu mereka pasti akan menjamu selera. Jadi, ia akan memberikan pertumbuhan ekonomi kepada penduduk di Temerloh ini,” ujarnya.
Beliau turut memberi cadangan supaya pihak bekuasa mempertimbang menambahkan lagi bilangan hotel yang dan jumlah bilik bagi menampung kedatangan pelancong yang semakin bertambah.
#Kampungstay Desa Murni #lubuk emas #Mini Waterpark Kubang gajah #pelancongan #temerloh
;