Tembok Besar China dipulihara dengan alatan mudah, batu-bata lama

Agensi
Jun 16, 2017 13:00 MYT
"Pada masa dahulu, kami memulih tembok-tembok untuk dijadikan tempat kunjungan ramai," kata Naib Pengerusi Persatuan Tembok Besar China, sebalik tengan objektif hari ini untuk memperbaiki dan memulihara khazanah negara untuk generasi akan datang.
Di kawasan Tembok Besar China yang kurang dipulihara, kelihatan deretan keldai muncul dari kesuraman hutal tebal yang dilindungi kabus dan embun.
Sarat dengan bebanan 150kg batu, ketujuh-tujuh binatang itu mula bergerak sebagai tindak balas kepada pujukan dan makian tuan-tuan mereka, tergesa-gesa mendaki sebelum matahari naik tinggi di langit.
Menjangkau lebih daripada satu dekad, keldai adalah penting dalam usaha memulihara Jiankou iaitu seksyen lengkungan Tembok Besar sejauh 20km. Terletak kira-kira 70km dari utara pusat bandar Beijing, zon itu sangat mencabar kerana laluan cerun yang berbahaya.
“Batu-bata hanya boleh diangkat oleh keldai kerana laluannya terlalu curam dan gunung-gunung yang terlalu tinggi,” kata pemilik keldai tempatan, Cao Xinhua, yang telah bekerja dalam projek-projek pemulihan Tembok Besar di pergunungan utara Beijing selama 10 tahun.
Selalunya, pekerja menggunakan kepingan batu-bata asal yang terkopak daripada tembok tersebut sepanjang zaman. Jikalau tidak dapat mencari, mereka menggunakan batu-bata baru yang dibuat khas untuk prose pemulihan tersebut.
“Kami perlu mengikut format, bahan dan pertukangan asal supaya nilai-nilai sejarah dan kebudayaan boleh dipulihara,” kata Cheng Yongmao, jurutera yang mengetuai misi pemulihan Jiankou.
Cheng, 61, yang telah memulihkan 17km Tembok Besar sejak tahun 2003, merupakan generasi ke-16 pembuat batu-bata tradisional.
Kawalan ketat kerajaan terhadap pencemaran telah menyebabkan penutupan hampir kesemua kilang membuat batu-bata di Beijing dan wilayah berhampirannya, kata Cheng.
Jika mereka kekurangan batu-bata, Cheng berkata, dia akan perlu mencari batu-bata di tempat lain atau meminta kerajaan pusat untuk mempertimbangkan pembukaan semula sebilangan kilang pembuatan batu-bata.
LALUAN KONKRIT
Terkenal dengan kecantikannya, Jiankou, yang bermaksud takik tali busur panah dalam bahasa Cina, dibina pada era Dinasti Ming pada tahun 1600-an, tetapi masih muda berbanding dengan bahagian-bahagian lain yang dibina 2,000 yang lalu.
Pemulihan intensif yang dilakukan pada seksyen Jiankou pada tahun lalu telah dipimpin oleh kerajaan daerah yang berminat untuk memulihara kecantikan semula jadi tembok tersebut.
Kerja-kerja yang bermula pada tahun 2005 dan kini dalam fasa ketiga itu bergerak dengan perlahan. Hal ini disebabkan oleh permukaan yang tidak rata dan hanya diizinkan menggunakan alatan asas seperti pahat, tukul, kapal dan penyodok.
Tindakan pihak berkuasa yang sangat teliti itu adalah reaksi lanjutan selepas beberapa kerja pemuliharaan sebelum ini yang dilakukan secara sambil lewa.
Pihak berkuasa di wilayah timur laut Laoning, yang menjadi tempat kepada sebahagian seksyen tembok yang berumur 700 tahun, telah 'membaik pulih' tembok hanya menggunakan pasir dan simen, hingga menyebabkan pengkritik menyifatkan kawasan tersebut kelihatan seperti laluan pejalan kaki.
Tidak lama selepas itu, Pentadbiran Negeri Warisan Budaya berkata bahawa sebarang pengendalian projek pemuliharaan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna akan disiasat.
Hanya satu per sepuluh daripada dinding yang dibina pada Dinasti Ming telah dipulihara, kata Naib Pengerusi Persatuan Tembok Besar China, Dong Yaohui.
“Pada masa dahulu, kami memulihara tembok-tembok untuk dijadikan tempat kunjungan ramai,” ujaraa beliau yang berkata objektif pemuliharaan hari ini adalah untuk memperbaiki khazanah negara untuk generasi akan datang.
#alatan mudah #batu-bata lama #Beijing #China #keldai #Khazanah #pemulihan #Tembok Besar China
;