Teknik lukisan 'hatching' angkat nama Khai Izham di media sosial
Bernama
Julai 23, 2023 18:19 MYT
Julai 23, 2023 18:19 MYT
KUALA LUMPUR: Asalnya Khairunnisa Mohd Izham melukis dengan teknik 'hatching' bagi mengubati insomnia yang dihidapi semasa mengikuti pengajian di sebuah universiti swasta, namun tanpa diduga karya beliau kini menjadi buruan peminat seni lukis tanah air.
Hatching atau 'hachure' dalam bahasa Perancis, adalah teknik melukis secara garisan atau lorekan selari yang memberikan kesan bayang atau perbezaan ton kecerahan lakaran, bergantung pada kepadatan, jumlah dan ketebalan garisan yang dilorek.
Bercerita tentang pembabitannya dalam seni lukis, Khairunnisa yang mahu disapa sebagai Khai, 24, berkata minat melukis hadir sejak beliau kecil, namun sebelum ini karya dihasil menggunakan cat air, arang, pensil dan akrilik.
"Pada 2018, saya yang sedang mengikuti pengajian sains perubatan di Management and Science University(MSU) ketika itu, disahkan menghidap insomnia, iaitu sukar tidur malam.
"Doktor menasihati saya agar melakukan aktiviti yang boleh menenangkan minda. Dari situ, saya mula memperbanyak lakaran kecil sesuatu objek," ujar wanita muda itu kepada Bernama.
BELAJAR SENDIRI
Bercerita lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau kemudian mempertajam kemahiran hatching dengan menonton video tentang teknik tersebut yang dikongsikan oleh pelukis tempatan dan luar negara menerusi media sosial dan Internet.
"Dari situ saya mula praktis cara dan bagaimana untuk melukis dengan langkah yang betul supaya dapat menghasilkan karya yang baik dan menarik," katanya, menambah kegiatan itu juga berjaya memulihkan insomnia yang dihidapinya.
Sambung beliau, fokus utamanya ketika mula berjinak-jinak dengan teknik itu ialah lakaran bangunan dengan lukisan pertama yang dihasilkannya ialah rumah gaya Victoria, pada Februari 2019.
Sejak itu, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tidak lagi menoleh ke belakang dan menumpukan perhatian pada bidang tersebut sepenuh masa, sekalipun mempunyai ijazah dalam bidang sains perubatan.
KETENGAHKAN PELBAGAI TEKNIK
Menggunakan pen pigmen berdakwat hitam sebagai wahana untuk melukis, Khai turut mengaplikasikan pelbagai teknik lain yang menekankan elemen garisan dalam penghasilan karyanya.
Katanya, menerusi langkah itu beliau dapat menonjolkan aspek bayang dalam setiap lukisan yang menjadi identiti beliau sebagai pelukis hatching.
"Agak sukar menghasilkan lukisan seperti ini kerana kita perlu membuat bentuk, garisan selari dan silang serta garisan ini pula perlu berpandukan arah, iaitu sama ada menegak, melintang atau condong.
"Garisan ini juga akan diolah mengikut kesan yang dikehendaki, iaitu garisan selari rapat-rapat untuk menonjolkan kesan gelap manakala garisan selari jarak-jarak untuk menghasilkan kesan cerah," jelasnya.
Tambah Khai, penggunaan pen dalam teknik hatching menuntut ketelitian kerana jika berlaku kesilapan, walaupun kecil, bermakna beliau perlu memulakan kembali lakaran itu.
"Perlu ada kesabaran dan disiplin yang tinggi kerana menyiapkan sesebuah karya memakan masa antara empat hingga lima minggu sekiranya saya melukis di atas kertas bersaiz A2, manakala untuk kertas A1 pula boleh mengambil tempoh hingga tiga bulan.
"Walaupun sukar, saya lebih selesa menggunakan pen kerana bagi saya, lakaran itu boleh dikawal, nampak lebih 'hidup' dan sesuai untuk karya lukisan yang menggunakan teknik sebegini," katanya.
Selain bangunan, beliau turut mengetengahkan landskap, pokok serta suasana hutan sebagai objek lukisannya.
Di samping menjual lukisan sedia ada, Khai turut menerima tempahan daripada orang perseorangan.
"Antara aspek yang menentukan harga lukisan saya ialah saiz, perincian dan tahap kesukaran ketika menghasilkan lukisan... ada antaranya boleh mencecah harga ribuan ringgit.
"Setakat ini, lukisan paling sukar yang saya hasilkan ialah Palazzo Carignano (bangunan bersejarah di Turin, Itali) dan lukisan termahal saya pula ialah lakaran bangunan Istana Jahar di Kota Bharu, Kelantan,'' katanya yang enggan mendedahkan nilai lukisan tersebut.
CIPTA NAMA DI MEDIA SOSIAL
Selain memaparkan lukisannya di laman sosial Instagram dan TikTok melalui akaun khai.izhamstudio, beliau turut berkongsi ilmu tentang teknik 'hatching' dan 'crosshatching' - teknik garisan bertindan - di platform berkenaan.
Berkongsi ilmu dengan cara yang bersahaja, tidak hairanlah gadis ini berjaya mengumpul lebih 225,000 pengikut dengan lebih empat juta menyukai videonya sejak aktif di TikTok dua tahun lepas.
Setiap kandungan video menampilkan maklumat ringkas dan kreatif berkaitan lukisan yang dihasilkannya sehingga menarik perhatian pengguna TikTok dan berjaya memasuki FYP (For Your Page) iaitu halaman yang mengandungi video dan kandungan tular di platform berkenaan.
"Tidak sangka ramai juga yang menyukai karya pelukis seperti saya apabila saya terima banyak maklum balas positif. Mungkin tidak ramai yang tahu tentang seni lukisan seperti ini, jadi apabila saya sebarkan di laman sosial secara tidak langsung saya memperkenalkan konsep lukisan seperti ini kepada umum.
"Saya percaya, tanpa sokongan pengikut laman sosial, saya juga tidak mampu untuk pergi sejauh ini dalam memperkenalkan karya saya.
"Bagi mengetengahkan bakat yang ada, saya turut berjinak-jinak menyertai beberapa pameran lukisan yang dianjurkan sebelum ini, seperti di Hom Trans di Ampang dan Ipoh Art Gallery," tambahnya yang berhasrat menyertai lebih banyak pameran lukisan berskala besar selepas ini.
Khai turut memasang impian untuk membuka galeri lukisan sendiri agar karyanya dapat membuka mata lebih ramai orang, bukan setakat pencinta lukisan.
Katanya, perkongsian di media sosial juga diharapkan dapat menjadi pembakar semangat buat pengikutnya yang mempunyai keinginan besar dalam mengejar cita-cita mereka.
"Saya akan sentiasa mencabar diri untuk menghasilkan karya seni lukis yang terbaik dan berharap dapat mengembara ke Eropah untuk melukis bangunan-bangunan unik di sana, dan kemudian bergambar di depan bangunan itu bersama-sama lakaran yang saya hasilkan," katanya yang menjadikan pelukis terkenal Thierry Duval, Teme Abdullah dan Syahmi Daud sebagai idola.
-- BERNAMA / Nurqalby Mohd Reda