Tarik minat pelajar, Cikgu Nancy berbusana tradisional ajar kelas dalam talian

Nickyson Nyambar
Disember 1, 2020 20:48 MYT
Busana-busana tradisi yang dikenakan oleh cikgu Nancy adalah merupakan dari koleksi peribadi. Selain pakaian tradisi suku kaum Iban, Melanau, Bidayuh dan India, Cikgu Nancy turut menggayakan pakaian tradisi dari Sabah. - Gambar Ihsan Nancy Thomas
KUALA LUMPUR: Pengajaran dan pembelajaran (PdP) mungkin lebih menyeronokkan jika dilakukan secara bersemuka dengan pelajar di bilik darjah.
Namun, keadaan pandemik COVID-19 yang berlarutan sejak awal tahun ini memaksa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan kaedah PdP secara dalam talian.
Ini jelas sekali memberi cabaran bukan sahaja buat warga pendidik tetapi juga kepada para pelajar.
Bagi Nancy Thomas, seorang guru Bahasa Melayu yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri, dia tampil dengan cara berbeza untuk mengajar, iaitu dengan berbusana tradisional lengkap dari pelbagai kaum sehingga menjadi buah mulut orang ramai.
Semuanya dilakukan agar pelajar tidak bosan dan sentiasa berminat mengikuti pembelajaran secara dalam talian yang dikendalikan oleh guru ini.
“Dari sudut pandangan saya sebagai seorang pendidik, kreativiti itu sangat penting untuk menarik minat pelajar untuk belajar.
“Ini kerana ada sesetengah pelajar suka tengok visual yang cantik, ada juga pelajar yang tak perlu rangsangan, dia dapat belajar,” katanya ketika berkongsi cerita bersama AWANI Sarawak.
Kata guru ini lagi, pada asalnya dia bertata rias untuk suka-suka sahaja. Tetapi setelah melihat keterujaan pelajar mengikuti kelas anjurannya, dia meneruskan kaedah kreatif ini.
“Saya nak memastikan pelajar saya seronok. Untuk permulaan, saya mengenakan busana kaum India. Suasana pembelajaran terus jadi meriah. Mereka gembira, saya juga gembira,” kata Cikgu Nancy.
Bagi menambah baik sesi pembelajaran pada masa akan datang, selepas kelas, guru ini akan menghantar pesanan ringkas kepada pelajar terpilih untuk mendapatkan pandangan mereka.
Ditanya mengenai penerimaan rakan sekerja di sekolah pula, kata Cikgu Nancy, mereka amat menyambut baik inisiatif ini, malah menyokong usaha murninya.
“Rakan-rakan seperjuangan saya sentiasa memberi semangat, bukan sahaja kepada saya malah sesama kami untuk mengharungi pengajaran norma baharu sekarang,” ujarnya.
Selain itu katanya, inisiatif ini juga membuka peluang kepada dirinya untuk memperkenalkan busana-busana tradisi suku kaum yang ada di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, buat pelajar tingkatan enam SMK Merbau, Lisliewan Gemmy, Cikgu Nancy bukan hanya bertata rias untuk dapat perhatian anak didik semata-mata, Malah, dia amat mementingkan kualiti pendidikan.
“Cikgu Nancy mengajar kami dengan terperinci dan teliti. Sebagai contoh, dia menerapkan teknik akronim agar kami lebih mudah menghafal dan memahami segala subtopik yang dipelajari,” jelasnya.
Pendapat sama turut dikongsi Sharon Pulih, pelajar dari sekolah dan tingkatan yang sama.
“Saya sangat suka kaedah pengajaran yang diterapkan oleh cikgu Nancy melalui Google Classroom ini.
"Bagi saya kaedah Cikgu Nancy menggunakan pakaian tradisional semasa sesi pembelajaran amat menggembirakan kami semua dan tidak bosan,” kongsinya.
#Cikgu Nancy #nancy thomas #AWANI Sarawak #norma baharu #pandemik #COVID-19 #pelajar #pembelajaran #Kementerian Pendidikan #SMK Merbau #Miri #Sarawak
;