Tarian sebagai medium kuasai bahasa Inggeris

Dania Zainuddin
Julai 30, 2017 21:24 MYT
Program ini menyediakan Latihan Intensif Tarian, Kelas Pengucapan Awam dan Kelas Lakonan Improvisasi. - Astro AWANI
Siapa sangka tarian boleh menjadi medium untuk mendedahkan masyarakat khususnya pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris?
Kita sering mendengar aktiviti berbahasa Inggeris di sekolah-sekolah seperti pertandingan penulisan, debat dan choral speaking.
Namun pendekatan tarian inilah yang digunakan dalam satu program untuk mengalakkan pelajar terutamanya golongan yang lemah dalam akademik untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.
Pendekatan inilah dilaksanakan Malaysia dengan kerjasama Fulbright English Teaching Assistang (ETA) dari Amerika Syarikat dengan mengadakan sebuah Kem Kreatif Bahasa Inggeris Kebangsaan baru-baru ini.
Kira-kira 135 pelajar dari 22 buah sekolah di Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak telah dipilih untuk menyertai program intensif selama tiga hari di Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Kem, Ashira Pelt, program ini menyediakan Latihan Intensif Tarian, Kelas Pengucapan Awam dan Kelas Lakonan Improvisasi.
"Kami mahu meningkatkan keyakinan pelajar dan kemahiran mereka untuk berbahasa Inggeris dengan selesa.
"Biasanya pelajar yang mendapat peluang untuk menyertai program sebegini adalah mereka yang sudah ada pencapaian tinggi dalam pelajaran mereka.
"Kem ini memberi peluang kepada mereka yang sangat minat dalam tarian untuk teruja untuk datang ke sekolah dan belajar bahasa Inggeris," kata Pelt ketika ditemui Astro AWANI.
Seramai 35 pembantu pengajar bahasa Inggeris telah mengambil bahagian dalam program ini.
"Tugas kami di sini adalah untuk mengalakkan dan memberi semangat kepada pelajar di Malaysia untuk belajar bahasa Inggeris.
"Dalam kelas, jika pelajar hanya didedahkan dengan perbendaharaan kata bahasa Inggeris di atas papan putih, ia sukar untuk dipraktikkan terutamanya bagi mereka di kawasan pedalaman.
"Jadi dengan kehadiran kami, pelajar perlu berinteraksi dalam bahasa Inggeris dan lebih mudah untuk pelajar mempraktikkannya," kata Pelt lagi.
Bagi pelajar SMK Takis Papar di Sabah, NoorKhasmira Salimin 16 tahun, dia sememangnya memiliki minat yang mendalam dalam bidang tarian.
"Saya menyertai program ini kerana saya sangat suka menari, dan pada masa sama ia telah meningkatkan keyakinan saya untuk bercakap dalam bahasa Inggeris.
"Di kem ini, saya bercakap dalam bahasa Inggeris sepanjang hari bersama guru-guru, dan di dalam bilik bersama rakan-rakan juga, kami terus berbual dalam bahasa Inggeris," kata Noorkhasmira.
Sementara itu bagi Hutharshini Tirumurugan, pelajar yang berusia 15 tahun dari SMK Idris Shah, Perak, program ini telah membantu memberi keyakinan kepada dirinya untuk menari di depan orang ramai.
"Sebelum ini, saya seorang yang sangat pemalu. Ketika sedang berlatih untuk kem ini, walaupun di hadapan kawan sendiri, saya sangat malu dan takut.
"Tetapi selepas persembahan tarian dalam kem ini, saya mampu melakukannya dan saya berasa sangat bangga," kata Hutharshini.
Setakat ini 98 pembantu pengajar bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat sedang mengajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia menerusi program Fulbright ETA dari Januari hingga November tahun ini.
#Amerika Syarikat #bahasa Inggeris #choral speaking #debat #ETA #medium tarian
;