Tangkap haruan sambil jalin ukhuwah kaki pancing
Bernama
Disember 25, 2022 12:35 MYT
Disember 25, 2022 12:35 MYT
PASIR MAS: Banjir yang belum surut sepenuhnya tidak menjadi penghalang kepada kaki pancing melepaskan 'gian' untuk 'bertarung' dengan ikan, malah musim ini dianggap waktu paling sesuai untuk mereka menangkap haruan yang kebiasaannya berada di paya yang sukar dibolosi.
Justeru, Kelab Sukan dan Rekreasi Pasir Mas Caster mengambil kesempatan itu dengan menganjurkan pertandingan memancing 'Flood Haruan Challenge' yang berjaya menarik penyertaan hampir 200 kaki pancing.
Menurut wakil penganjur, Yusri Yusuf, 49, pertandingan yang diadakan di Mukim Pohon Tanjung, di sini semalam, turut menarik penyertaan pemancing dari Pahang, Johor dan Terengganu.
Tinjauan Bernama mendapati suasana ketika pertandingan bagaikan pesta apabila peserta memenuhi hampir segenap kawasan yang digenangi air termasuk di sekitar rumah penduduk, dalam misi menangkap haruan.
"Acara ini memang bergantung sepenuhnya kepada musim monsun yang membawa kepada banjir di pantai timur. Tujuan kami menganjurkan pertandingan ini juga untuk menjalinkan ukhuwah dalam kalangan kaki pancing," katanya kepada Bernama.
Yusri berkata pertandingan yang memasuki edisi kelapan itu turut membuka peluang kepada peniaga kecil di sekitar kawasan berkenaan menjana pendapatan.
Sementara itu, mekanik dari Pasir Puteh, Wan Eruang, 41, berkata dia hanya mahu mencuba nasib menyertai pertandingan itu selain melepaskan gian setelah beberapa hari tidak memegang joran.
"Biasanya selepas banjir peluang untuk dapat ikan haruan lebih tinggi. Ini kerana paras air yang meningkat telah membawa haruan yang selama ini bersembunyi di paya ke tebing daratan," kata pemancing tegar itu.
Mohd Zarif, 28, dari Tumpat pula berkata dia tidak akan melepaskan peluang untuk keluar memancing setiap kali banjir mula surut kerana pada waktu itu lebih mudah untuk mendapat ikan.
"Selain itu dapat juga saya berkumpul dan meluangkan masa bersama rakan-rakan yang ada antaranya sudah lama tidak bertemu," katanya.
-- BERNAMA