Tanggalkan capal ketika mesyuarat, penampilan Anwar Ibrahim jadi tumpuan netizen
Gempak
November 27, 2022 09:10 MYT
November 27, 2022 09:10 MYT
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencuri tumpuan netizen selepas gambar-gambarnya menghadiri mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali viral di media sosial.
Menerusi satu ciapan di Twitter, beliau memuat naik beberapa keping foto yang memperlihatkan dirinya menggayakan persalinan baju Melayu berona ungu, lengkap dengan samping dan songkok.
Selain itu, beliau turut menyarungkan sepasang capal ketika menghadiri mesyuarat berkenaan.
Bagaimanapun, menerusi salah satu gambar, Anwar dilihat membuka capalnya ketika sedang bermesyuarat dan hal itu mencetus perbincangan dalam kalangan netizen.
“Dah la pakai selipar, masa meeting boleh tanggal camtu aje,” ujar seorang netizen.
Namun, ciapan tersebut dibalas oleh seorang lagi pengguna Twitter.
“Untuk makluman bersama, capal dibenarkan untuk dipakai bersama baju Melayu bersamping. Aku pun baru tahu,” katanya.
Selain itu, ada juga antara pengguna media sosial yang memberitahu yang martabat capal lebih tinggi berbanding selipar dan kasut-kasut lain.
“Capal actually salah satu pakaian Melayu tradisional. Dipakai bangsawan dan para pahlawan pada zaman dulu kala. Jadi, martabat capal tu lebih tinggi dari selipar dan kasut-kasut lain,” katanya.