Tambah sejam waktu tidur mampu turunkan berat badan - Kajian
Astro Awani
Februari 10, 2022 08:51 MYT
Februari 10, 2022 08:51 MYT
MENANGANI masalah berat badan memerlukan seseorang itu fokus pada diet dan rejimen senaman, tetapi ternyata tidur juga mampu memberikan hasil yang diingini.
Satu kajian baharu mendedahkan, dengan menambah waktu tidur selama satu jam setiap malam boleh membantu menyingkirkan 270 kalori setiap hari, bersamaan dengan tiga biskut coklat.
Ini bermakna, selama tiga tahun ia boleh mengakibatkan penurunan berat badan sebanyak 26 paun (kira-kira 11 kg).
Sepasukan saintis dari Universiti Chicago memulakan penyelidikan untuk mengenal pasti kaitan antara tidur dan pengambilan kalori dalam kalangan 80 individu yang mempunyai berat badan berlebihan berumur 21 hingga 40 tahun.
Kajian itu, yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Internal Medicine, menyaksikan para peserta menerima beberapa petua berguna tentang bagaimana mahu mendapat tidur yang lena setiap malam.
Ia termasuk memalapkan lampu dan tidak melihat telefon bimbit atau komputer riba sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tidur.
Mengulas hasil kajian, penyelidik Esra Tasali berkata, jika tabiat tidur yang sihat dikekalkan dalam tempoh lebih lama, ia akan membawa kepada penurunan berat badan yang signifikan secara klinikal dari masa ke masa.
Tambahnya, kajian itu sengaja mengelak dari mengenakan diet ketat atau menetapkan gaya hidup tertentu ke atas peserta kerana saintis "hanya mahu memanipulasi tidur" dan peserta "boleh makan apa sahaja yang mereka mahu".
"Kami hanya melatih setiap individu tentang menjaga waktu tidur yang baik, dan memberikan nasihat yang disesuaikan dengan perubahan yang boleh mereka lakukan untuk meningkatkan kualiti tidur mereka," katanya.