Tambah koleksi warisan Malaysia di Rusia, pembuat tanjak bangga serahkan Mahkota Alam

Azlinariah Abdullah
September 4, 2022 09:50 MYT
Mohd Sallehin (tengah) serahkan tanjak Mahkota Alam kepada Kurator Russia State Museum of Oriental Art, Galina Sorokina (kanan) dengan disaksikan sarjana Rusia, Dr Victor A. Pogadaev. - Astro AWANI
MOSCOW: Pembuat tanjak Mohd Sallehin Hussain tidak menyangka tugasannya ke Moscow dan Volgograd, Rusia pada bulan kemerdekaan mencetuskan dimensi baharu yang lebih hebat dalam hubungan Malaysia dan Rusia.
Jurukamera Astro AWANI ini berkata, beliau mendapat tahu mengenai hasrat muzium di Rusia mahukan koleksi warisan dari Malaysia ditambah, menerusi pembacaan di sebuah akhbar tempatan.
Katanya, selepas membaca artikel tulisan sarjana Rusia, Victor Pogadev itu, beliau tanpa ragu-ragu mahu menyerahkan Mahkota Alam, antara tanjak yang paling disayanginya serta remeh pembuatannya.
"Namun memikirkan bahawa pemberian ini akan menambah koleksi warisan Malaysia di Rusia, sekali gus mencambahkan minat tentang Malaysia dalam kalangan warga Rusia, saya gagahi membawa Mahkota Alam untuk diserahkan kepada State Museum of Oriental Art atau Muzium Negara Budaya Oriental.
"Tambahan pula, saya fikirkan, ini cara saya sebagai rakyat Malaysia menyemarakkan diplomasi budaya antara Malaysia dan Rusia. Barangkali ia boleh ditafsir bahawa ini cara berbeza menzahirkan cinta kepada negara pada bulan kemerdekaan,'' kata Mohd Sallehin.
Menurutnya, adalah sukar untuk membawa tanjak, apa lagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik sebagaimana hari ia siap dihasilkan selepas menempuh perjalanan panjang dari Kuala Lumpur ke Moscow, iaitu kira-kira 20 jam.
Sebelum majlis kecil untuk tanjak diserahkan, Mohd Sallehin, yang ditugaskan untuk misi khas cubaan menukar sudut pandang tentang Rusia bersama editor dan penerbit AWANI Pagi, Azlinariah Abdullah, beliau sempat memperagakan busana lengkap di sekitar Moscow secara solo dan berjaya menarik minat ramai warga Rusia di bandar metropolitan itu.
Dengan penyerahan tanjak Mahkota Alam, ia menambahkan koleksi warisan dari Malaysia untuk dipamerkan di institusi budaya pendidikan terbesar Rusia itu.
Ditubuhkan pada tahun 1918, muzium ini menyimpan barang pameran daripada 100 negara termasuk negara-negara Asia Tenggara.
"Sayangnya, koleksi dari Malaysia boleh disifatkan terlalu sedikit berbanding negara Asia Tenggara lain, sedangkan minat warga Rusia terhadap warisan dan budaya Malaysia amat tinggi.
"Sudah pasti, tanjak yang diserahkan Mohd Sallehin ini dinanti-nantikan warga Rusia yang minat budaya warisan Malaysia, saya yakin, jumlahnya amat ramai," kata Kurator State Museum of Oriental Art, Galina Sorokina, ketika ditemui semasa majlis penyerahan Tanjak Mahkota Alam.
Galina berkata, terdapat sekitar 60 koleksi dari Malaysia yang tersimpan di muzium berkenaan, kebanyakannya didermakan Pogadev sejak beberapa tahun lalu.
Kini muzium dibuka dan berfungsi untuk pameran seni tetap dari China, Korea, Jepun, Asia Tenggara, Asia Tengah dan Kazakhstan, Kaukasia, Tibet, Buryatia, Mongolia, India, Iran dan pameran lukisan oleh Nikolai dan Svyatoslav Rerikh, dengan lebih daripada 160,000 unit.
Dalam pada itu, Pogadev berkata, beliau cuba menambah koleksi warisan Malaysia di muzium di Rusia dengan menyumbangkan beberapa helai batik dari Kelantan dan Terengganu, kain pua kumba dari Sarawak, sebilah keris dari Kelantan dan sepasang baju Melayu dengan kain samping jenis songket sejak tahun 2014.
"Baru-baru ini usaha itu diteruskan oleh Profesor Tatiana Denisova dari UTM yang menyerahkan songket kebaya labuh dan Puteri Zarith Gangga kepunyaan Raja Nazhatul Shima Idris dari Perak yang sudi menyumbangkan pakaian peribadinya kepada muzium tersebut. Ini sesuatu yang wajar dipuji. Begitu juga, penyerahan Tanjak Mahkota Alam disumbang pembuatnya sendiri, Mohd Sallehin, ia cerminan usaha murni untuk menyebarluaskan diplomasi budaya kedua-dua negara," ujar Pogadev.
Beliau berkata, jika lebih banyak barangan atau koleksi dari Malaysia di muzium itu, ia boleh ditempatkan di satu seksyen khas, berbanding sekarang, iaitu hanya dikeluarkan apabila terdapat pameran tertentu membabitkan khazanah Asia Tenggara.
Tanjak ialah simbolik yang mewakili bangsa, keturunan dan kerajaan. Malah, ia turut dikatakan mewakili taraf dan kuasa.
Manakala, Mahkota Alam, gubahan Mohd Sallehin sendiri di bawah label tanjakfansuri, lazimnya gelaran untuk seorang pemimpin yang alim atau warak sehingga dikatakan mampu mentadbir dua kerajaan, manusia dan jin.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#rusia-malaysia #diplomasi budaya #tanjak #muzium
;