Taman Tasik Titiwangsa dibuka semula, kini dengan wajah baharu

Fareez Azman
Disember 15, 2019 19:34 MYT
Pengalaman berjalan di sepanjang 'Canopy Bridge' antara tarikan terbaharu di Taman Tasik Titiwangsa. -Foto Astro AWANI
Jika sebelum ini pengalaman beriadah di Taman Tasik Titiwangsa tidak begitu menyeronokkan disebabkan fasilitinya yang kurang memuaskan, kini pusat riadah awam di tengah ibu kota itu tampil dengan wajah baharu dan dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.
Selain penambahbaikan fasiliti, beberapa tarikan baharu turut dibina buat warga kota yang ingin meluangkan hujung minggu bersama keluarga.
Dari sudut landskapnya, ia menyaksikan perubahan hampir keseluruhan taman itu dengan penambahan pokok Kemuning yang mempunyai bau wangiannya tersendiri di 'Maze Garden'.
Manakala pokok air juga ditanam di sepanjang tasik bertujuan menapis air agar menjadi lebih bersih.
Selain landskap, turut dibina buat pertama kalinya ialah taman permainan dan taman permainan air kanak-kanak yang menjadi antara 'wow factor' di situ.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, taman itu dibuka lebih awal daripada acara rasminya yang dijadual tahun depan bagi memberi ruang kepada warga kota meluangkan masa bersama keluarga ketika musim cuti sekolah.
"Inilah kita hendakkan, tagline tahun depan 'People meet Kuala Lumpur' 'Smart People', kita hendak bagi kehidupan berkualiti kepada orang Kuala Lumpur.
"Ini salah satu cara kami lakukan di Taman Tasik Titiwangsa, ini sebagai projek utama untuk kita berikan kepercayaan kepada orang ramai.
"Saya sangat berharapkan dengan adanya taman ini, ia berkaitan dengan Pelan Tempatan 2040 untuk menjadikan Kuala Lumpur lebih baik, tiada terpinggir dengan kehijauan dan infrastrukturnya," katanya.
Menelan perbelanjaan RM99.88 juta, hasilnya ternyata memberi satu kepuasan buat warga kota yang berkunjung untuk beriadah.
Bagi anda yang suka berbasikal dan joging, trek yang lebih besar dan teratur disediakan.
Lebih mengujakan, apabila anda boleh merasai pengalaman meniti di 'canopy bridge' sambil diselubungi kabus buatan sekali gus menerapkan elemen 'forest in the city'.
Tidak hanya boleh dinikmati segelintir golongan rakyat, Taman Tasik Titiwangsa kini juga dikenali sebagai taman mesra orang kurang upaya (OKU).
Menurut Penolong Pengarah (Landskap) Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Landskap Arkitek Mohd Anuar Ahmad berkonsep 'inklusiviti' turut diterapkan di taman itu.
"Berkonsepkan 'inklusiviti' taman ini turut dibina sebagai taman mesra OKU, malah ada permainan yang disediakan khas buat kanak-kanak autistik dan cerebral palsy.
"Kita mendapat respons yang baik golongan kurang upaya ini. Ini adalah salah satu inisiatif baharu DBKL untuk membuka kepada orang awam," jelas Mohd Anuar.
Taman Tasik Titiwangsa kini siap sepenuhnya dan akan dirasmikan pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, DBKL dalam usaha penambahbaikan akan memasang pagar dalam masa terdekat bagi tujuan keselamatan.
#Bersenam #Bersih #Bersukan #Datuk Bandar Kuala Lumpur #DBKL #Kanak-kanak #Kuala Lumpur #Nor Hisham Ahmad Dahlan #OKU #riadah #Taman Tasik Titiwangsa
;