Taman menegak bantu kurangkan 'pulau haba bandar'
Bernama
April 8, 2016 11:08 MYT
April 8, 2016 11:08 MYT
Taman menegak atau menanam pokok bunga yang disusun menegak di luar bangunan, mampu mengurangkan fenomena pulau haba bandar (urban heat island - UHI) akibat cuaca panas.
Justeru, semua bangunan tinggi harus memiliki taman menegak, kata Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir.
Beliau berkata pembinaan bangunan pencakar langit mengurangkan kawasan hijau yang berupaya menyerap gas karbon dioksida dan menyederhanakan suhu.
"Bangunan pencakar langit yang dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan kekurangan ruang untuk pengaliran udara, ditambah pula dengan penebangan pokok-pokok akibat pembangunan.
"Oleh itu, bangunan haruslah memanfaatkan ruang yang ada untuk mewujudkan sudut yang ditanam dengan tumbuhan hijau dan sekiranya mempunyai ruang terhad, cara yang sesuai adalah melalui taman menegak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kurang kawasan hijau
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekurangan kawasan hijau akibat pembangunan pesat menyebabkan ibu kota berstatus pulau haba bandar, seperti yang dilaporkan sebuah media tempatan pada Isnin lepas.
Dr Osman, yang juga Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia berkata terdapat tiga konsep taman menegak atau penghijauan pada dinding luar yang boleh diterapkan pada bangunan tinggi iaitu fasad bangunan, lantai tingkat-tingkat tertentu di atas bangunan, dan ruang awam dalam bangunan.
"Jenis tanaman taman menegak ini adalah jenis yang tidak terlalu besar, dengan perakaran yang mampu tumbuh dengan baik pada ruang terhad, tahan terhadap hembusan angin, tidak memerlukan banyak air dan mampu menyerap bahan pencemaran seperti debu dan karbon dioksida," terangnya.
Katanya setiap bangunan tinggi 15 tingkat ke atas harus mewujudkan satu taman atas bumbung ataupun taman di satu daripada tingkatnya bagi 'menghidupkan' keseimbangan ekologi dan penghuninya.
"Contohnya di negara maju seperti Britain, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat, teknologi laman di bumbung sudah dipraktikkan lebih 10 tahun lalu yang bukan saja dapat menghijaukan persekitaran malah menyejukkan kawasan sekitar dan mengurangkan penggunaan tenaga," katanya.
Seimbangkan ekosistem
Tambahnya selain memanfaatkan ruang bangunan untuk penanaman tumbuhan hijau, setiap bandar dan kawasan kediaman harus mewujudkan taman rekreasi yang ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan yang dapat menyeimbangkan ekosistem.
"Contohnya taman KLCC, ia sebagai kawasan rekreasi warga kota untuk menenangkan fikiran dan beriadah di samping berfungsi sebagai pengimbang haba dan menurunkan suhu bandar menerusi tumbuh-tumbuhan hijau yang ada di sekitarnya.
"Tidak semestinya hanya bergantung kepada hutan simpan untuk menyeimbangkan ekosistem semata-mata, kewujudan taman di tengah-tengah kota juga turut boleh berfungsi sama seperti hutan simpan," katanya.
Dr Osman berkata dari sudut kitaran ekologi, hubungan manusia dan tumbuh-tumbuhan amat erat serta saling bergantungan untuk keseimbangan dan kesinambungan ekosistem alam.
"Pengurangan kawasan keras dan bertambahnya kawasan hijau telah sedikit sebanyak mengurangkan sinaran semula haba dari matahari di samping menambahkan bekalan oksigen untuk pernafasan," katanya.