Tak sengaja buang Bitcoin RM345 juta, lelaki sanggup gali tapak pelupusan sampah
Agensi
Disember 5, 2017 12:50 MYT
Disember 5, 2017 12:50 MYT
SEORANG lelaki di Wales, United Kingdom kini berada dalam keadaan tidak keruan setelah dia secara tidak sengaja membuang pemacu cakera keras berisi mata wang kripto Bitcoin bernilai lebih AS$80 juta (lebih RM320 juta).
Menurut laporan Independent, James Howells, seorang pekerja IT dari Newport, mendakwa dia telah 'kehilangan' 7,500 Bitcoin itu pada pertengahan tahun 2013.
Howells kini merancang untuk mencari cakera keras itu semula, tetapi tidak pasti bagaimana. Namun dia percaya pemacu itu masih tertanam di tapak pelupusan sampah.
Nilai 7,500 unit cryptocurrency itu pada ketika Howells 'terbuang' pemacu cakera keras tersebut adalah kira-kira AS$130 (kira-kira RM530).
Pada ketika peranti tersebut hilang dalam simpanannya, nilai Bitcoin pada cakera keras itu terus meningkat, dan hari ini mampu mencecah RM350 juta.
"Selepas saya berhenti mining Bitcoin, komputer riba yang saya gunakan telah dipisah-pisahkan perkakasannya dan dijual di eBay.
"Walau bagaimanapun, saya menyimpan cakera keras di dalam laci di rumah kerana tahu ia mengandungi kekunci peribadi Bitcoin saya," katanya kepada Telegraph.
Howells berkata dia terlupa tentang cakera keras itu kerana sibuk berpindah selain menjalani kehidupan berkeluarga.
Howells berkata beliau mula mining Bitcoin pada tahun 2009 menggunakan komputernya itu untuk menyelesaikan masalah matematik kompleks untuk mendapatkan ganjaran.