Tak sempat ke gim? Kemas rumah pun boleh tambah sihat - Kajian

Agensi
Disember 6, 2020 13:23 MYT
Bukan hanya di gimnasium dan di luar, melakukan kerja harian di rumah juga boleh membantu meningkatkan kesihatan. - Foto: DeanDrobot / Istock.com
TAHUKAH anda, buat kerja membersih rumah dan berjalan kaki setiap hari juga sebenarnya mampu meningkatkan tenaga dan kesihatan anda?
Ya, itulah dapatan daripada kajian dilakukan penyelidik dari Karlsruhe Institute of Technology (KIT) and the Central Institute of Mental Health (CIMH) in Mannheim, Jerman.
Sebelum ini kita tahu aktiviti fizikal seperti berlari di taman, bermain bola sepak, badminton atau apa saja sukan mampu meningkatkan kecergasan dan kesihatan.
Begitupun, kali ini penyelidik memberi fokus kepada aktiviti harian pula.
Diterbitkan dalam jurnal Science Advances, kajian menunjukkan bahawa melakukan kerja membersih rumah, menaiki tangga atau berjalan kaki daripada membawa kereta untuk ke lokasi yang berhampiran dapat meningkatkan kesihatan secara signifikan.
Ternyata, penyelidikan itu dibuat tepat pada waktunya dengan sekatan COVID-19 yang membuatkan gimnasium ditutup pada waktu ini.
Dalam kajian tersebut, penyelidik menilai 67 individu selama tujuh hari dan mereka mendapati semua 67 orang itu dilihat lebih bertenaga selepas melakukan aktiviti itu - kerja-kerja di rumah, jalan kaki dan turun naik tangga.
Seterusnya, penyelidik mengkaji 83 orang, menggunakan tomografi resonans magnetik untuk melihat bahagian otak mana yang banyak digunakan dalam aktiviti seharian itu.
Mereka mendapati bahawa yang paling banyak digunakan adalah subgenual cingulate cortex, secara mudahnya, kawasan itu adalah di mana ia mengawal emosi dan daya tahan terhadap gangguan psikiatri.
Kesimpulannya, selepas melakukan aktiviti seharian, mereka yang terlibat dalam kajian itu berasa lebih bertenaga.
Penyelidikan itu juga menunjukkan bahawa menaiki tangga dan bukannya menaiki lif boleh memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental - terutama bagi orang yang terdedah kepada gangguan psikiatri.
Untuk masa depan, saintis mencadangkan penemuan itu, misalnya, dapat digunakan dalam aplikasi telefon pintar untuk mendorong pengguna lebih aktif, meningkatkan kesihatan mereka.
Sementara itu, penyelidik juga dapat membantu mereka yang menderita akibat tekanan, kegelisahan bahkan kemurungan sejak bermulanya krisis kesihatan masyarakat.
“"Pada masa ini, kami mengalami sekatan kuat dalam kehidupan masyarakat dan hubungan sosial yang boleh memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan manusia.
“Untuk merasa lebih baik, mungkin lebih baik untuk banyak menaiki tangga," nasihat profesor Heike Tost, salah seorang penyelidik dalam kajian berkenaan.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#kerja rumah #sukan #Bersenam #Kajian #penyelidik #badminton #bola sepak #kesihatan #Jerman #kereta #telefon pintar #COVID-19 #shm #weekender
;