Tak perlu malu! Ujian kanser serviks lebih mudah dengan inovasi ROSE
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 14, 2019 15:31 MYT
Januari 14, 2019 15:31 MYT
Ujian kanser serviks kini lebih mudah dan selesa menerusi inovasi terbaharu iaitu Program Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks (Removing Obstacles to Cervical Screening - ROSE).
Produk yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan VCS Foundation (VCSF) Australia itu membolehkan wanita menjalankan ujian itu sendiri berbanding kaedah pap smear sebelum ini.
Jika ujian pap smear sebelum ini perlu menggunakan spekulum, menerusi inovasi baharu itu, kaedah konvensional itu tidak diperlukan.
ROSE menawarkan cara pencegahan dan penghapusan kanser serviks dari gabungan tiga elemen iaitu pensampelan sendiri, ujian Vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) dan penggunaan platform digital.
Susulan inovasi tersebut, kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi membolehkan wanita menjalani ujian mengesan kanser serviks menggunakan inovasi tersebut.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Malaysia hanya mampu mencapai kadar 12.9 peratus sahaja dalam saringan serviks.
“Kadar itu berada terlalu jauh di bawah sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 70 peratus, menjadikan ia cabaran untuk memujuk wanita tampil melakukan saringan berkenaan.
“Risiko hayat seorang wanita Malaysia untuk mendapat kanser pangkal rahim ialah 1:116. Hanya 24 peratus wanita Malaysia dikesan menghidap tahap awal (Tahap 1) manakala 76 peratus disahkan setelah berada pada tahap seterusnya (Tahap 2, 3 4),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ROSE di ibu negara pada Isnin.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjangkakan program pemeriksaan itu bakal memanfaatkan 14,000 wanita sasaran dalam golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ujarnya, kaum wanita disaran mendaftar menyertai program berkenaan di 49 klinik di bawah kelolaan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seluruh negara.
Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan UM, Prof Dr Woo Yin Ling berpendapat ROSE akan memberi pengalaman penyaringan kesihatan yang merangkumi aspek keselamatan, privasi dan martabat melalui pensampelan sendiri.
“Ia sekali gus akan menggalakkan lebih ramai wanita untuk lakukan saringan dan pemeriksaan tepat pada masanya,” katanya yang turut hadir majlis pelancaran itu.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#HPV
#inovasi
#kanser serviks
#Rose
#sampel sendiri
#Timbalan Perdana Menteri
#WHO