Tak perlu ke Paris, anda kini boleh nikmati karya seni Muzium Louvre secara dalam talian
Agensi
Mac 30, 2021 15:36 MYT
Mac 30, 2021 15:36 MYT
PARIS: Anda kini boleh menghayati keindahan karya seni hebat yang dipamerkan di Muzium Louvre, tanpa perlu membeli tiket penerbangan ke Paris.
Pihak pengurusan Louvre pada Jumaat lalu mengumumkan, keseluruhan koleksi seninya kini sedia dinikmati secara dalam talian. Lebih 480,000 hasil karya seni sudah dipertontonkan untuk sesiapa sahaja pada bila-bila masa dan percuma!
Karya terkenal muzium itu seperti Winged Victory, Venus de Milo dan pastinya, Mona Lisa, kini boleh diakses secara maya, bersama-sama ribuan lagi bahan pameran seperti lukisan, arca, barang kemas, tekstil dan objek bersejarah.
"Hari ini, Louvre sedang membersihkan khazanahnya, malah tidak melupakan karya-karya yang kurang dikenali.
"Buat kali pertama, sesiapa sahaja boleh melihat keseluruhan koleksi ini dari komputer atau telefon pintar mereka secara percuma, sama ada item yang dipamerkan di muzium ini, dipinjamkan, ataupun yang dalam simpanan.
"Warisan budaya Louvre yang menakjubkan kini hanya di hujung jari anda," ujar Presiden-Pengarah Musée du Louvre, Jean-Luc Martinez.
Pangkalan data terbaharu itu mengandungi hasil karya dari Louvre dan Musée National Eugène-Delacroix serta arca dari taman-taman Tuileries dan Carrousel yang berdekatan.
Jika pelawat tidak pasti mahu bermula di mana - atau mahu merasai pengalaman olok-olok berkunjung ke muzium itu, mereka boleh menggunakan pilihan peta interaktif dan meneroka muzium itu secara maya, seolah-olah sedang melangkah dari ruang ke ruang.
Pengguna juga boleh membuat carian karya tertentu, atau memeriksa pameran mengikut tema. Pangkalan data itu akan terus dikemas kini mengikut hasil karya baharu atau kajian spesifik.
Muzium Louvre telah ditutup kepada pengunjung ketika pandemik bermula, dan pernah dibuka sebentar pada musim panas dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19. Ia kemudian ditutup kebali ketika Paris menguatkuasakan perintah berkurung dan seterusnya menjalani fasa baik pulih bangunan.
#muzium
#Louvre
#pameran
#karya seni
#pengunjung
#pelancong
#tarikan pelancongan
#Paris
#Perancis
#warisan budaya