Tak mahu 'pecah kepala' fikir tentang zuriat sendiri, bela haiwan lebih bagus
Reuters
Januari 24, 2019 12:17 MYT
Januari 24, 2019 12:17 MYT
KECINTAAN terhadap binatang peliharaan bukan lagi hal yang asing bagi sebilangan besar rakyat Korea Selatan.
Kasih sayang yang melimpah-ruah dicurahkan sama ada pada kucing atau anjing yang sudah diterima sebagai sebahagian daripada anggota keluarga mereka.
Bagi pasangan Kang Sung-il dan isteri misalnya, memelihara anjing baka Pomerania jauh lebih menyenangkan hati mereka berbanding memiliki zuriat sendiri.
Ini kerana, di negara yang mereka huni, Korea Selatan, membesarkan anak sendiri adalah satu bebanan berbanding memelihara Sancho iaitu anjing kesayangan pasangan itu.
Dalam persekitaran masa kini, di negara itu, memiliki zuriat sendiri hanya mengundang petaka buat mana-mana pasangan kerana kos untuk membesarkan anak terlalu tinggi yang akhirnya berpotensi memberi tekanan buat ibu bapa.
Lalu, penyelesaian kepada masalah menghindarkan diri daripada tekanan ialah memelihara anjing atau kucing kerana bagi Kang Sung-il dan isterinya kehadiran Sancho sudah cukup melengkapkan kebahagiaan mereka.
Kerana terlalu menyayangi Sancho juga, mereka berdua tidak lokek berbelanja sekitar AS$50 (RM207) semata-mata mahu membawa anjing peliharaan baka Pomeranian menziarahi 'neneknya', iaitu ibu kepada Kang.
“Tekanan sosial di Korea Selatan menuntut ibu bapa menyiapkan sumber (kewangan) untuk berdekad lamanya bagi menghantar mereka ke sekolah (swasta) sehinggalah ke kelas kesenian," kata Kang yang juga pengurus di pusat pengebumian haiwan peliharaan.
Sebetulnya juga, bukan hanya pasangan itu memilih anjing peliharaan pengganti kasih sayang zuriat sendiri, sebaliknya, industri haiwan peliharaan di Korea Selatan kini berkembang pesat ekoran rata-rata rakyatnya lebih cenderung dengan tabiat berkenaan.
Disebabkan ledakan industri itu juga, sebilangan rakyat negara itu tidak kisah untuk membujang selama-lamanya.
Untuk rekod tahun lalu sahaja industri haiwan peliharaan mencatat rekod keuntungan lebih kurang AS$2.4 bilion (RM9.92 bilion) dan angka itu dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2027, menurut Korea Rural Economic Institute.
"Populasi haiwan peliharaan semakin berkembang pesar lantaran lebih ramai oang memilih untuk tidak memiliki zuriat sendiri atau membujang," ujar Kim Soo-kyung, pengurus di Institut Kajian Ekonomi Samjong KPMG.
Realiti yang dihadapi di negara itu ialah kerelaan pasangan suami isteri di Korea Selatan memilih membela haiwan peliharaan berbandingan memiliki zuriat sendiri disebabkan oleh pelbagai faktor.
Antara halangan terbesar ialah peningkatan kos pendidikan, perumahan selain waktu kerja yang terlalu lama.
Selain pembiayaan pendidikan, secara puratanya isi rumah di Korea Selatan perlu bekerja sekurang-kurangnya 12.8 tahun hanya untuk memiliki kediaman sederhana berbanding 8.8 tahun pada 2014, demikian laporan oleh KB Kookmin Bank.
Lebih teruk lagi apabila Korea Selatan mencatat negara ketiga dalam kategori waktu kerja paling panjang di belakang Mexico dan Costa Rica.
Faktor-faktor berkenaan secara tidak langsung mendorong penduduk di Korea Selatan lebih selesa memelihara kucing atau anjing.
Disebabkan itu, isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan menghampiri 28 peratus pada tahun lalu berbanding 18 peratus pada 2012, menurut data kerajaan negara itu.
Rata-rata pengusaha dan penjual produk haiwan peliharan kini mampu tersenyum lebar apabila ada dalam kalangan mereka mencatat keuntungan tiga kali ganda dengan hanya menjual penapis air khusus untuk kucing.
Perkhidmatan pengebumian haiwan peliharaan juga meningkat apabila seorang pengusaha, Kang Sung-il menerima sekitar 10 servis setiap hari berbanding tiga hingga lima sejak memulakan operasi dua tahun lalu.
Di Namyangju yang terletak di pinggiran Seoul, Lee Jae-hwan begitu emosi bercerita mengenai Kkotage iaitu anjing peliharaannya yang sudah mati, namun abu mayat 'anak kesayangannya' itu yang disimpan dalam bekas sentiasa dibawa ke mana sahaja.
"Saya selalu memperkenalkan Kkotage sebagai satu-satunya anak lelaki saya, yang paling saya sayang di dunia," kata kata Lee, 51, yang tidak henti-henti menangis dalam temu bual bersama Reuters di rumahnya.
Apa yang paling menyedihkan kata Lee, Kkotage tidak pernah melihat laut sepanjang hayatnya.
"Dia tidak pernah melihat laut. Saya sentiasa menyimpan keinginan dapat melakukannya bersama-sama," kata Lee lagi.