Taiwan memanggil.. Dari gunung ke lembah, menu lazat dan pasar meriah!

Hamzah Hamid
Januari 17, 2023 14:37 MYT
Taiwan menyambut kunjungan pengembara dunia dengan tarikan keseronokan urban, keindahan alam semulajadi, keunikan seni warisan dan kelazatan gastronomi. - Astro AWANI/Hamzah Hamid
QING wen, qing zhen canguan zai na li? Oh... sieh sieh...
Alangkah mudahnya jika seseorang sudah fasih berbahasa Mandarin, ataupun sekurang-kurangnya tahu serba sedikit frasa Mandarin asas untuk berkomunikasi di destinasi ini.
Namun, tidak mengapa jika sebaliknya. Bahasa Inggeris juga ‘laku’ di Taiwan, lebih-lebih lagi dengan keramahan orang tempatan yang seolah-olah tiada beza dengan jiran atau rakan Cina di Malaysia, yang mesra bergaul.
Sejarah Taiwan yang pernah berada selama puluhan tahun di bawah kuasa Jepun juga dilihat meninggalkan beberapa kesan asimilasi. Perhatian seseorang akan segera tertangkap pada pengaruh Negara Matahari Terbit itu dalam banyak aspek di Taiwan – dari tatacara kerja, makanan, kebudayaan, hinggalah kepada aspek disiplin khususnya dalam menjaga kebersihan (oh, saya memuji kebersihan tandas awamnya juga!).
Ditambah pula dengan aspirasi, adaptasi dan ketersediaan Taiwan dalam menyahut seruan pelancongan halal, tentunya pengembara Muslim dari Asia Tenggara dan seluruh dunia bakal menghembus nafas lega.
Bertitik-tolak dari rasa senang dan selesa itu, wilayah pulau seluas 36,197 kilometer persegi tersebut hanya tinggal perlu mempromosi kehebatan produk pelancongannya yang sedia ada.
Tarikan alam semulajadi, tanah tinggi, makanan, warisan seni budaya… memang terlalu banyak hendak disenaraikan. Namun berikut ini adalah antara yang boleh dijadikan panduan:
NAK LAWAT APA?
1) Alishan National Forest
Kedamaian dalam redup hutan pine dari jenis cypress merah dan cedar kuning ini menjemput semua Instagrammer untuk hadir ke ‘Gunung Ali’. Dimulakan dengan menaiki kereta api vintaj ke hentian khas, seterusnya berjalan kaki menyusuri denai rapi yang pasti membawa anda ke sudut landskap menarik. Dekatkan diri dengan dunia botani, sambil menghirup dos oksigen premium!
2) YuYuPas Cultural Park
Masuk ke mukim Chiayi, lokasi dengan pemandangan menghijau ini meraikan budaya komuniti etnik pribumi Tsou menerusi persembahan muzik dan tarian. Sambil menikmati teh Alishan serta ais jeli lemon yang menyegarkan, panorama lembah dan gunung yang menenangkan dapat dihayati sewaktu dalam perjalanan dan sesudah tiba di lokasi ini.
3) Pasar malam di Taichung
Kalau Taipei terkenal dengan pasar malam Shilin, kota kedua terbesar iaitu Taichung pula menawarkan pasar malam popular seperti Feng Chia, mahupun di Yizhong Street. Gerai jualan pop-up berselang-seli dengan kedai mini yang berderetan di sepanjang jalan dan simpang, selain turut menghubungkan kafe, butik dan pusat beli-belah. Cenderamata, kraf, pakaian, gerai serbaneka dan banyak lagi! Sedia untuk mencabar enochlophobia anda di sini!
4) Jiufen Old Street
Susun langkah anda menyusuri lorong-lorong sempit, panjang, naik turun dan berliku-liku. Sementara itu, di kiri dan kanan laluan terdapat pelbagai kedai menarik untuk disinggahi. Dalam thrill berlaga bahu dengan sesak khalayak, pengunjung akan menemui banyak kedai yang menjual produk makanan kering, pakaian, manisan, rumah teh, kraftangan dan demonstrasi seni. Debar dan hingar-bingar yang beridentiti lokal - semuanya berlatarkan gaya dagang zaman lampau.
5) Taipei 101
Tinggi melampai, takkan tak nampak! Bangunan inilah yang ‘merampas’ takhta bangunan tertinggi dunia dari Menara Berkembar Petronas pada tahun 2004. Teguh setinggi 509 meter, pengunjung wajib naik ke aras observatori untuk menikmati pemandangan spectacular 360 darjah bandar raya itu. Menjadi ikon metropoltan masa depan, di dasarnya terdapat gedung beli-belah enam tingkat dengan pelbagai pilihan restoran, pusat hiburan, butik dan barangan berjenama terkemuka.
LAPARNYA... MANA NAK MAKAN?
1) Halal Chinese Beef Noodles
Bukan sahaja mendapat pengiktirafan halal, restoran dengan rekod operasi lebih enam dekad ini juga tersenarai dalam panduan gastronomi Michelin. Mi lembut dalam kuah stok rebusan daging, diiringi potongan daging lembu yang lunak setelah seharian direneh bersama rempah tradisi. Jangan lupa, cuba juga roti khas yang berinti daging cincang. (No.1 Lane 137, Alley 7, Yanji Street, Da'an, Taipei)
2) Zhuo Ye Cottage
Sebuah kampung mini yang menyediakan restoran hot pot vegetarian dari rahsia dapur Hakka, sambil dikelilingi seni bina rustik kedesaan dan juga landskap kolam. Keenakan seleksi makanan berasaskan sayur membuatkan peminat menu daging terlupa seketika bahawa di situ langsung tiada haiwan yang ‘dikorbankan’. Selain menjamu selera, pengunjung juga boleh berbelanja cenderamata, dan mengikuti kelas menghasilkan kain dengan teknik celupan indigo dari sumber warna semulajadi. (No. 1-5, Bengshanxia, Sanyi, Miaoli)
3) Mountain Town Café
Kecil tapi kekal dalam ingatan! Tempat ini menang atas faktor lokasi, layanan dan menu ringkas yang lazat. Nikmati pemandangan bukit menghijau, pekan sunyi dan hamparan lautan dari kafe tebing bukit, sambil menjamah piza atau nasi keju bersama sayur. Kopinya juga menjadi pujaan para pelanggan. Pengusahanya turut memiliki rumah inap yang bernama Shan Cheng Creation House. (No. 193, Jishan Street, Ruifang \ Tel: 0963 663 003)
4) Long Yun Leisure Farm
Konsep kehidupan lestari terus dipraktikkan sebuah keluarga yang memiliki hamparan tanah warisan tiga generasi. Kombinasi tarikan ladang teh, ladang ternak, kebun sayur dan chalet tanah tinggi, tempat ini siap menerima kunjungan tetamu Muslim dengan tempahan awal. ‘Bintang’ di meja makan pastinya makanan laut, sayuran organik dan juga rebung segar yang digoreng kilas! (No. 1, Shizhuo, Zhuqi 60497, Chiayi)
JANGAN LUPA INI...
1) Ziarah masjid
Terdapat tujuh masjid utama di seluruh Taiwan dengan masjid terbesar dan tertua ialah Taipei Grand Mosque di daerah Da’an. Wujud sejak tahun 1948, masjid itu menjadi tumpuan bagi umat Islam Taipei menunaikan ibadah selain menjadi pusat pendidikan dan kebudayaan Islam. Datangilah masjid ini pada waktu solat fardu berjemaah khususnya pada Jumaat untuk membina jaringan hubungan antara saudara seagama dari pelbagai negara.
2) Naik Metro Taipei
Kaedah termudah dan termurah untuk bergerak ke satu-satu tempat sekali gus menyaksikan pemandangan kota dan pinggir bandar. Sistem transit aliran massa (MRT) meliputi kawasan di Taipei dan New Taipei dengan lebih 130 stesen dijangkau dalam enam jalur laluan. Bagi pengembara urban, kaedah ini menjanjikan ketepatan waktu dan kejutan tarikan yang trendy di setiap hentian yang dipilih.
3) Flower Home
Destinasi romantis ini juga boleh menjadi alternatif bagi kunjungan keluarga mahupun kumpulan rakan pencinta flora. Terletak di Miaoli, Zhuolan, kebun bunga seluas 3 hektar ini juga menjadi penawar untuk masalah stres dan keresahan (asalkan anda tidak ada alergi pada debunga!). Hadiahkan pancaindera anda dengan pelbagai jenis spesies bunga aneka warna serta ketenangan aromatik. Selain disediakan rumah inap, pengunjung juga boleh belajar cara membuat minyak aromaterapi daripada bahan semulajadi.
4) Chiang Kai Shek Memorial Hall
Mercutanda bersejarah ini khusus untuk pelancong yang serius dan punya banyak waktu untuk menghadam tentang Jeneral Chiang Kai-shek iaitu bekas Presiden Republik China. Di dalamnya terdapat perpustakaan dan muzium berkaitan ‘titik mula’ kewujudan dan pembentukan Taiwan. Tarikan menarik adalah ritual pertukaran pengawal di dewan puncaknya selain seni bina dan taman di sekelilingnya.
BACA: Cantik sampai menangis, enak teringat-ingat.. Ayda Jebat buat apa di Taiwan?
BACA: Pelancong Malaysia paling ramai dari rantau ASEAN ke Taiwan
TENTANG HALAL
  • Dengan kewujudan mereka, walaupun hanya membentuk kumpulan minoriti, keperluan menyediakan sumber halal amat diberi perhatian, lebih-lebih lagi Taiwan semakin mesra menyambut kunjungan pelancong Muslim dari seluruh dunia.
  • Makanan halal di Taiwan mendapat bimbingan dan pengiktirafan oleh badan khas seperti Jakim, Malaysia, serta dari Indonesia dan Singapura.
  • Sesetengah hotel juga menyediakan menu khas untuk penginap Muslim, yang dihidang menggunakan pinggan mangkuk yang bertanda halal.
  • Taiwan juga diiktiraf sebagai Destinasi Inklusif Tahunan (bukan OIC) dalam majlis Anugerah Pelancongan Halal 2022
  • #Taiwan #pelancongan #tempat menarik di taiwan #salam taiwan #Ayda Jebat
    ;