Taiping lahirkan anak gajah kelima

Bernama
Januari 23, 2019 14:22 MYT
Zoo Taiping Night Safari menerima kelahiran dua anggota keluarga baharu iaitu seekor anak gajah jantan dan anak burung Spoonbill Afrika pada 30 Disember tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, kelahiran anak gajah jantan seberat 80 hingga 90 kilogram itu menjadikan jumlah keseluruhan habitat gajah di zoo tersebut sembilan ekor iaitu tujuh gajah betina dan dua gajah jantan.
Katanya, anak gajah itu dilahirkan oleh ibunya bernama Taiping dan ia merupakan kelahiran kelima sejak kelahiran terakhir pada 2011.
"Setiap anak gajah yang dilahirkan hidup bersama ibunya dan akan dijaga bersama oleh gajah-gajah lain dalam kumpulan. Tempoh anak gajah bercerai susu sekitar umur empat hingga lima tahun.
"Anak gajah yang belum dinamakan itu bersama ibunya akan diasingkan daripada kumpulan gajah lain dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum dilepaskan,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Abdul Rahim berkata, kelahiran anak burung 'Spoonbill Afrika' atau nama saintifiknya 'Platalea Alba' seberat 50 gram itu sekali gus menjadikan jumlahnya kini tiga ekor iaitu masing-masing seekor jantan dan betina serta anak burung berkenaan yang belum dikenal pasti jantinanya.
Menurut beliau, burung itu mempunyai keunikannya tersendiri iaitu paruh seakan-akan bentuk sudu selain membuat sarang di atas pokok renek dan hutan bakau sebagai tempat persembunyian semasa menetaskan anak.
"Dengan kelahiran baharu itu, ia merupakan antara pencapaian zoo dalam menjamin kelestarian populasi hidupan liar," katanya.
Abdul Rahim turut memaklumkan, sepanjang tahun lalu, Zoo Taiping Night Safari menerima 34 kelahiran baharu pelbagai spesies dan menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 1,400 ekor haiwan daripada 140 spesies termasuk mamalia, reptilia, ikan dan burung.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, pertukaran spesies haiwan antara Zoo Taiping Night Safari di sini bersama zoo di Bandaraya Fukuoka, Jepun akan menjadi satu daripada yang akan dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan Bandaraya Fukuoka, Jepun, di Ipoh pada Khamis.
"Selain zoo, Jepun juga amat berminat dengan apa yang terdapat di bandar ini dan mereka sering berkunjung ke bandar ini,” katanya. - BERNAMA
#gajah #Night Safari #Zoo Taiping
;