Tahun Ular Air yang agresif dan tidak menentu

Astro Awani
Februari 9, 2013 23:29 MYT
Mengikut Kalendar Zodiak Cina, tahun ini merupakan Tahun Ular Air yang disifatkan sebagai agresif dan penuh dengan ketidaktentuan.
Menurut pengasas Good Feng Shui, Kenny Hoo, pertengahan tahun pertama khususnya bakal berdepan dengan banyak cabaran terutama dari segi ekonomi, sosial dan politik.
Namun ia diramal akan berubah secara mendadak selepas pertengahan tahun kedua.
Menurut ramalan Kenny, Tahun Ular Air ini bakal mengalami banyak perubahan besar.
Ia juga dinamakan sebagai 'tahun pembetulan' kerana dilihat sebagai peluang untuk memperbetulkan kehidupan silam.
Tahun ular juga bakal mengalami ketidaktentuan dari segi ekonomi dengan pasaran saham diramal kurang stabil pada pertengahan tahun pertama.
“Walau bagaimanapun, apabila masuk pertengahan tahun kedua iaitu selepas Julai, pasaran diramalkan akan bertambah baik,” kata Kenny.
Menariknya tahun ular air ini juga merupakan tahun pilihanraya yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara ahli-ahli politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Biarpun tahun ular bakal membawa banyak perubahan namun ia juga membawa tuah.
Justeru Kenny menasihati orang ramai agar berfikiran lebih terbuka untuk mengharungi cabaran tahun ular air ini.
#agresif #Kalendar Zodiak Cina #Tahun Ular Air #tidak menentu