Tahukah anda bahawa lobak asalnya bukan berwarna oren?
Israr Khalid
Februari 22, 2019 18:33 MYT
Februari 22, 2019 18:33 MYT
SUMBER makanan yang kita telan pada hari ini kebanyakannya telah mengalami beberapa siri evolusi malah ada yang termutasi.
Termasuklah lobak, yang rangup dikunyah dan baik untuk kesihatan mata. Ya, lobak adalah sayur yang telah berevolusi sejak berkurun lalu menjadikan warnanya oren seperti yang kita biasa lihat pada hari ini.
Sebenarnya, pada zaman dahulu kala warna asal lobak adalah ungu, putih dan kuning. Bagaimana ia boleh jadi warna oren?
Begini ceritanya.
Pembangun pameran makanan, Paul Stepahin menerusi blog sains, Tested menceritakan bahawa hampir kesemua buah-buahan citrus berevolusi dari tanah selatan China kira-kira 20 juta tahun lalu.
"Ia sampai ke India dan dikenali dengan nama Sanskrit iaitu naranga. Kemudian ia dibawa ke barat oleh Parsi yang turut memanggilnya dengan nama yang tidak jauh beza, narang. Apabila ia tiba di Perancis, ia disebut sebagai un narang.
Ahli linguistik percaya bahawa orang Perancis terkeliru sehingga satu tahap tersalah kaitkan suku kata un kepada or (yang bermaksud emas), menjadikannya disebut sebagai orange sampai hari ini," jelas Stepahin.
Jadi apa kaitannya dengan lobak?
Ada sebuah kota di selatan Perancis bernama Arausio yang diasaskan oleh orang Rome pada tahun 35 Sebelum Masihi, secara klasiknya dipanggil "Aurenja". Entah bagaimana orang Perancis (seperti biasa) menyalah sebutnya menjadi Orange.
Apabila seorang lelaki bernama William the Silent dari Nassau mewarisi tampuk pemerintahan di Orange pada 1544, dia dipanggil William of Orange. Beliau mengepalai Revolusi Belanda menentang bangsa Sepanyol pada lewat 1500-an, dan menang seterusnya menubuhkan Republik Belanda.
"Ketika itu orang Belanda dikenali sebagai petani lobak. Lobak mereka didapati dalam warna putih, kuning dan ungu," jelas Stepahin lanjut.
"Kemudian pada kurun ke-17, satu baka lobak telah dibangunkan yang memiliki kandungan beta-karotin (kompaun organik yang ditemui dalam labu dan ubi keledek) dan berwarna jingga.
"Orang Belanda mula menanamnya secara besar-besaran untuk memperingati William of Orange, sehinggakan lobak jenis lain diketepikan sama sekali."
Begitulah kisahnya bagaimana lobak menjadi warna oren.
Namun jangan diingat bahawa lobak yang ada pada hari ini hanya yang berwarna oren sahaja. Masih lagi wujud lobak putih, kuning, ungu dan juga merah.
Cuma lobak berwarna oren itulah yang paling popular, dan William of Orange adalah puncanya.
#Belanda
#buah
#carrot
#evolusi
#fakta
#lobak
#makanan
#Orange
#oren
#sayuran
#tahukah anda
#William the Orange