'Tabiat' peminat bola sepak, adakah sama dengan anda?

Ridauddin Daud
November 21, 2020 13:37 MYT
Meskipun saingan bola sepak di Malaysia sudah tamat namun ia tidak pernah melunturkan semangat pencinta bola sepak tanah air untuk terus menyokong pasukan kegemaran mereka. - Gambar hiasan
BOLA sepak merupakan sukan paling popular di dunia, bahkan di Malaysia juga.
Saban tahun peminat disajikan dengan perlawanan hebat - Derby Manchester, El-Clasico, London Derby, Der Klassiker dan di Malaysia pun ada banyak perlawanan tumpuan.
Namun tahun ini segalanya berubah angkara COVID-19 sehinggakan Piala Malaysia pun dibatalkan penganjurannya meskipun banyak negara lain membenarkan perlawanan bola sepak berlangsung.
Tak kiralah apa berlaku, ada bermacam-macam ‘tabiat’ peminat bola sepak yang secara tidak langsung memeriahkan lagi sukan ini.
Contohnya seperti berikut:
1)’Troll’ bila pasukan lawan kalah
Aktiviti ini sebenarnya sudah lama bermula, dulunya menggunakan kain-kain rentang dan digantung di stadium.
Zaman berlalu, ‘troll’ atau ejekan ini bersambung pula di media sosial, lagi meriah dibuatnya - lagi-lagi kalau pasukan popular tumpas - meriahlah media sosial keesokan harinya.
Namun pasti anda ada seorang kawan atau mungkin lebih, bila pasukan lain kalah, diejeknya habis-habisan tapi bila pasukannya diejek, dia ‘koyak’, ‘sentap’, mengamuk pun ada.
Tapi tidak dinafikan, itulah yang menceriakan sukan ini tapi kalau selalu sangat kalah, rasanya sudah lali walaupun kena ejek.
2) Tengok perlawanan penuh, esok sambung lagi tengok ‘highlight’
Ya, ini antara yang mungkin ramai orang boleh kaitkan bersama, termasuk penulis sendiri.
Lazimnya, peminat suka menonton siaran langsung perlawanan pasukan mereka, lebih 90 minit biasanya, bersamaan satu jam 30 minit.
Esoknya kalau sudah keluar sorotan perlawanan (highlight), pun mahu ditonton lagi sedangkan golnya sama saja, tidak langsung berubah.
Tapi biasanya tengok balik kalau pasukannya menang, kalau kalah, jangan kata tengok, bercakap pasal perlawanan itu pun tak mahu!
3) Setiap tahun kumpul jersi
Kalau dah minat, tak sah kalau tak beli jersi pasukan kegemaran.
Setiap tahun corak jersi berubah, setiap tahun jugalah peminat beli. Ia dipakai bukan sahaja ketika menonton bola sepak malah ketika keluar bersiar-siar juga.
Lebih meriah, nama pemilik turut ditampal di belakang tapi ada juga yang mengumpul jersi lebih dari satu pasukan.
Biasanya mereka ini melihat jersi mana yang cantik, itu akan dibeli juga tapi jersi pasukan kegemaran tetap ada, yang lain hanya sebagai tambahan.
Di hati mereka tetap yang satu!
4) Pakar bola sepak tumbuh bagai cendawan selepas hujan
Ada yang benar-benar pakar, di Malaysia pun ada beberapa individu yang memang benar-benar mengkaji taktikal permainan dan boleh dilabel pakar.
Kebiasaannya, yang ramai adalah ‘pakar sekelip mata’ atau ‘pakar bermusim’, kadang-kadang muncul tapi kebanyakan masanya tidak tahu ke mana perginya.
Pakar ini akan komen pelbagai perkara - taktikal pasukan, idea jurulatih, corak permainan, strategi bertahan dan menyerang hatta keputusan pengadil sekalipun.
Komen mereka biasanya panjang berjela jika pasukannya kalah. Masa itu muncullah pelbagai tanda pagar ‘#out’ dan bila menang, hilang sekejap kempen itu.
4) Kalau suka Cristiano Ronaldo, mesti benci kepada Lionel Messi dan sebaliknya
Jika dilihat kepada ‘page’ bola sepak antarabangsa, inilah antara perdebatan yang acap kali dimainkan.
Tak kiralah status itu berkenaan pemain lain, pasti akan ada komen mengaitkan Messi dan Ronaldo, membandingkan siapa lebih hebat.
Dalam komen itu juga, boleh dilihat jika dia meminati Messi, pasti Ronaldo akan dikutuk sedangkan semua tahu, baik Messi atau Ronaldo, kedua-duanya merupakan pemain hebat.
Bagitupun masih ada peminat yang mengambil jalan tengah, menikmati kehebatan kedua-dua pemain itu sekali gus merasai keindahan bola sepak yang disajikan Messi dan Ronaldo.
5) Pemain yang ‘tidak mampu’ untuk dibenci
Dalam sukan bola sepak, ada pemain dibenci atas beberapa sebab.
Tapi ada beberapa pemain yang sangat disayangi - kerana kehebatan, personaliti dan senyuman mereka.
Pemain yang mungkin paling sukar untuk dibenci ialah Ronaldinho, pemain kelahiran Brazil yang menyerlah bersama Paris Saint Germain dan Barcelona.
Peminat tak mungkin boleh melupakan gelekan, tarian dan senyumannya ketika beraksi di padang, menghiburkan jutaan pencinta bola sepak di seluruh dunia.
Meskipun sudah lama bersara, skilnya masih diingati sehingga kini dan dai bolehlah dianggap pemain bola sepak paling digemari di seluruh dunia.
6) Kalah dengan pasukan lain tidak mengapa asalkan bukan Indonesia
Ini paling tepat untuk peminat bola sepak Malaysia memandangkan permusuhan dua negara ini nampak semakin hangat sejak beberapa tahun lepas.
Dulu mungkin Singapura dan Thailand adalah musuh tradisi tapi sekarang, nampaknya Indonesia berada di tangga teratas.
Dalam 10 tahun kebelakangan, banyak perlawanan antara Malaysia - Indonesia dan banyak juga kisah yang ‘merancakkan’ lagi persengketaan dua negara ini dalam sukan bola sepak.
Mungkin kerana itu bila ada saja perlawanan melibatkan kedua-dua negara ini, stadium akan penuh dan sorakannya sungguh mengagumkan.
Meskipun saingan bola sepak di Malaysia sudah tamat namun ia tidak pernah melunturkan semangat pencinta bola sepak tanah air.
Sokongan akan terus diberikan seperti kata-kata keramat dari filem Ola Bola: “Kita menang bersama-sama, kita kalah pun bersama-sama!”

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#bola sepak #Lionel Messi #Cristiano Ronaldo #barcelona #Piala Malaysia #peminat #Indonesia #Malaysia #harimau Malaya #televisyen #siaran langsung
;