Tabiat pemakanan kurang sihat punca utama obesiti rakyat Malaysia

Bernama
Oktober 2, 2015 08:00 MYT
Apa yang lebih penting adalah untuk orang ramai mengubah tabiat makan mereka dengan lebih banyak memakan sayur, buah serta mengurangkan nasi. - Gambar Fail
Jika membeli-belah dianggap cara menghabiskan masa di kebanyakan negara, makanan pastinya satu tarikan di Malaysia, sama ada untuk orang tempatan atau pelancong.
Di Malaysia, kewujudan restoran mamak 24 jam, restoran makanan segera dan gerai makan membolehkan orang ramai menjamu selera hampir sepanjang masa.
Pertemuan sosial juga sering dilengkapi dengan jamuan makan.
Situasi itu secara langsung menyebabkan kadar obesiti di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia.
Menurut hasil kajian jurnal perubatan British 2013, The Lancet, 49 peratus wanita dan 45 peratus lelaki di negara ini didapati mengalami obesiti.
Chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan berkata, faktor utama rakyat Malaysia mengalami obesiti tertinggi di Asia adalah kerana tabiat pemakanan kurang sihat.
"Rakyat Malaysia gemarkan makanan mereka terutama kari dan daging tetapi minat untuk mencuba makanan menyebabkannya menjadi tidak sihat.
"Sebagai chef saya terpanggil untuk membantu rakyat Malaysia mengamalkan budaya makanan yang lebih sihat," katanya dalam sidang media mengenai cara makan yang sihat selepas perasmian kedai BMS Organics di sini, pada Khamis.
Chef Wan berkata rakyat Malaysia makan terlalu banyak tanpa mengetahui kandungan makanan itu.
Sebaliknya, beliau berkata rakyat Malaysia harus menitikberatkan kepada pemakanan sihat dengan mengurangkan makanan yang mengandungi kadar gula yang tinggi, berminyak dan kolesterol seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik.
"Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis makanan daripada pelbagai budaya dan kita sering makan lebih banyak daripada apa yang diperlukan tubuh kita.
"Jadi, ke mana sahaja kita pergi, kita wajar memilih makanan yang tepat untuk dimakan.
"Kita harus tahu apa yang dimakan dan apa kesannya kepada tubuh. Jika kita makan berlebihan, kita perlu tahu apa yang perlu dilakukan. Senaman penting untuk mengelakkan obesiti," katanya.
Menurutnya, apa yang lebih penting adalah untuk orang ramai mengubah tabiat makan mereka dengan lebih banyak memakan sayur, buah serta mengurangkan nasi.
"Saya akan bekerjasama dengan sekolah tidak lama lagi untuk membimbing pelajar mengenai makanan sihat kerana kanak-kanak generasi sekarang seperti lupa apa itu sayur dan kelebihannya kepada mereka.
"Selain itu, saya akan menggunakan TV untuk membantu rakyat Malaysia makan makanan sihat. Saya akan berkongsi resipi makanan sihat dengan penonton dalam program TV akan datang," katanya.
#Chef Wan #obesiti #tabiat makan
;