Syarikat sabun pencuci baju mohon maaf atas iklan berbaur perkauman
Syafique Shuib
Mei 30, 2016 21:06 MYT
Mei 30, 2016 21:06 MYT
SEBUAH syarikat pencuci baju dari China, Shanghai Leishang Cosmetics, telah memohon maaf kerana mengeluarkan iklan yang disifatkan berbaur perkauman.
Ini kerana iklan terbitan mereka menggunakan lelaki Afrika yang bertukar menjadi lelaki Asia berkulit cerah setelah “dicuci” menggunakan produk pencuci bernama Qiaobi.
Iklan berdurasi 49 saat itu terus mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami orang Afrika setelah tersebarnya iklan berkenaan, dan digembar-gemburkan oleh media,” kata kenyataan syarikat itu, dipetik dari Mashable.
Mereka turut menjelaskan bahawa penggunaan orang Afrika dalam iklan mereka merupakan satu “kebetulan”.
Tambahnya, ia tidak pernah menggunakan warna kulit sebagai pengukur kualiti produk mereka.
Lapor BBC, iklan berkenaan dimuat naik pada Mac namun menjadi hangat pada minggu lepas setelah ia viral di laman media sosial.
Laporan yang sama turut menyatakan bahawa syarikat itu sebelum ini menyalahkan media asing sebagai menggembar-gemburkan isu ini.
Difahamkan iklan berkenaan pernah mencatat 6.5 juta tontonan namun syarikat berkenaan telah menarik balik iklan berkenaan.
Mereka juga mahukan orang ramai untuk tidak lagi berkongsi iklan tersebut.