Sultan Johor dihadiahkan replika kayu 500kg motosikal Harley-Davidson

Wafa Aula
Februari 9, 2018 10:37 MYT
Replika itu dipersembahkan kepada baginda oleh ketua masyarakat India Johor Bahru, S.Seva bagi menghargai bakti dan sumbangan baginda kepada masyarakat di negeri itu. - Foto facebook.com/officialsultanibrahim.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menerima sebuah hadiah berupa replika motosikal Harley-Davidson berukiran kayu seberat 500 kilogram di Istana Pasir Pelangi, Johor, baru-baru ini.
Replika itu dipersembahkan kepada baginda oleh ketua masyarakat India Johor Bahru, S.Seva bagi menghargai bakti dan sumbangan baginda kepada masyarakat di negeri itu pada Rabu lalu.
Replika yang diukir sepenuhnya menggunakan kayu yang diimport dari Indonesia itu mengambil masa selama hampir enam bulan untuk disiapkan.
Ukiran itu dihasilkan oleh pemilik syarikat Bergamo iaitu Deva dan Vijay yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun dalam industri perkayuan.
Berita gembira itu turut dikongsikan Baginda di laman Facebook.
Baginda sebelum ini mengendalikan program Kembara Sultan Johor yang membuktikan minatnya dengan motosikal berkuasa tinggi.
Kembara Sultan Johor adalah program tahunan baginda merentasi 10 daerah negeri Johor menggunakan motorsikal berkuasa tinggi sejak lima tahun yang lalu.
#Bangsa Johor #Istana Pasir Pelangi #Kembara Sultan Johor #Replika Harley-Davidson #Sultan Ibrahim #Sultan Johor
;