Sultan Johor berpuas hati pengajian Islam bakal menantu
Bernama
Julai 26, 2017 08:04 MYT
Julai 26, 2017 08:04 MYT
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan dan berpuas hati dengan pencapaian pembelajaran agama Islam Dennis Muhammad Abdullah, bakal suami puteri tunggal baginda, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah.
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim yang bercakap kepada Royal Press Office, iaitu pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, di sini, memberitahu bahawa Dennis Muhammad diberi bimbingan sekumpulan ustaz dari Jabatan Agama Islam Johor( JAIJ) sejak awal Mac lalu.
Ismail bersama isterinya, Datin Zawaiah Mohamed dilantik menjadi keluarga angkat Dennis sejak awal Februari lepas setelah mendapat perkenaan Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah, menurut kenyataan Royal Press Office pada Selasa.
Dennis, kata Ismail, diberi bimbingan melalui satu modul pembelajaran agama Islam yang intensif dan sistematik bagi membolehkan beliau mempelajari al-Quran, fardu ain dan pengajaran Bahasa Melayu, protokol dan istiadat Diraja Johor, penulisan Jawi serta penerangan mengenai struktur organisasi kerajaan negeri Johor.
Pengajaran fardu ain Dennis merangkumi tertib solat, Rukun Iman dan Rukun Islam, puasa, zakat dan haji.
"Dalam tempoh tiga bulan sahaja, Dennis dapat mengikuti segala pembelajaran dengan baik dan cemerlang termasuk berupaya menghafal 10 surah terakhir dari al-Quran, Doa Qunut serta Ayat Kursi," katanya.
Dennis tidak pernah lupa menunaikan solat Jumaat dan tidak pernah ketinggalan menunaikan solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan, kata Ismail lagi.
Ismail mempersembahkan laporan mengenai pembelajaran agama Islam oleh Dennis kepada Sultan Johor pada 5 Julai lalu.
Dennis, 28, yang berasal dari Belanda, memeluk Islam pada 31 Mei 2015 dan bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tunku Tun Aminah di Istana Bukit Serene di sini pada 14 Ogos.
-- BERNAMA
#bakal menantu
#Belanda
#Dennis Muhammad Abdullah
#Islam
#perkahwinan
#Sultan Ibrahim
#Sultan Johor
#Tunku Aminah