Starcruise Libra kembali bawa penumpang nikmati pelayaran ke Phuket, Krabi
Bernama
Oktober 12, 2016 14:25 MYT
Oktober 12, 2016 14:25 MYT
Setelah berehat daripada belayar di perairan Pulau Pinang lebih setahun lalu, Super Star Libra kini kembali untuk membawa pelancong menikmati keindahan sebenar Krabi dan Phuket di Thailand.
Walaupun ia merupakan kapal paling kecil dalam kalangan keluarga Superstar, kapal pelayaran itu paling mendapat tempat di hati rakyat Malaysia kerana ia disesuaikan mengikut keperluan dan kepentingan semua penumpang.
Lawatan empat hari tiga malam menyeberang lautan itu akan membawa para penumpang merasai pengalaman sebenar berada di dalam kapal pelayaran dan pada sebelah malam, mereka yang ingin menenangkan fikiran bolehlah mengira bintang-bintang di kaki langit di atas dek sambil ditemani kumpulan muzik 'live'.
Pasangan pengantin baharu, Tan Zhe Yi dan isterinya, Ting Ching Yen menyifatkan pelayaran itu sebagai satu peluang seumur hidup berada di kapal berkenaan.
"Kami seronok dan sangat tenang di sini. Terima kasih star cruise untuk segala-galanya," kata Ting ketika ditemui semasa lawatan julung kali kapal itu ke Krabi dan Phuket hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, untuk penumpang beragama Islam, pengurusan kapal memberi jaminan akan turut menyediakan makanan halal di dalam kapal dan mereka kini sedang dalam proses memohon sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kapal seberat 42,282 tan yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 penumpang dan dikuasakan oleh enjin diesel itu dikemudi Kapten Lennart Jegerfalk dari Sweden dan dibantu oleh rakan senegaranya, pegawai pertama Christopher Sandstrom.
Sandstorm yang berpengalaman tujuh tahun mengemudi kapal ke destinasinya ketika ditemui berkata, beliau memberi jaminan kepada penumpang bahawa tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana kapal itu mempunyai sirip penstabil yang boleh menangani keadaan laut bergelora dan situasi kecemasan.
Seorang lagi penumpang, Alicia Wang dan rakan-rakannya yang turut menaiki kapal itu buat pertama kali menyifatkan percutian itu berbaloi dan menyeronokkan.
"Kami mengikuti lawatan ini kerana mahu menyambung semula persahabatan memandangkan semua sibuk dengan kerja masing-masing. Jadi, kami mempunyai peluang itu di sini dan gembira dengan pilihan yang kami buat ini," katanya.
Selepas kira-kira 18 jam belayar dari Pulau Pinang, kapal itu tiba di Krabi, sebuah bandar kecil yang terletak di sepanjang pantai Laut Andaman, terkenal dengan keindahan airnya yang jernih dan menjadi habitat untuk hidupan laut berkembang, serta pulaunya yang terkenal termasuk pulau Phi Phi dan pulau James Bond.
Penyelam dan mereka yang suka aktiviti snorkeling akan kagum dengan kecantikan hidupan marin dan apa yang paling mendamaikan ialah keindahan pemandangan di dalam laut yang dijaga rapi oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain pantai yang menakjubkan, pelancong juga boleh berjalan-jalan di bandar dan ke tempat-tempat menarik seperti Taman Negara Than Bok Khorani, kuil Gua Harimau dan pantai Ao Nang yang popular.
Di pantai Ao Nang, pelancong boleh menikmati urutan asli Thai dan pada masa yang sama menikmati juadah sebenar Thai khususnya Tom Yan dan makanan laut segar yang sangat menyelerakan.
Kapal pelayaran itu kemudian meninggalkan Krabi pada malam itu juga dan menuju ke Phuket, sebelum berlabuh di terminal Chaophaya di selatan Phuket dan penumpang bebas untuk meninggalkan kapal dari 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Di Phuket pula, menjadi kemestian buat pelancong mengunjungi Promthep Cape kerana mempunyai pemandangan matahari terbenam yang paling menakjubkan serta menikmati kacang gajus serta kristal keluaran antarabangsanya.
Pada sebelah malam, pengunjung juga wajib ke pantai Patong yang terletak kira-kira 20 kilometer dari tempat kapal berlabuh kerana ia terkenal dengan kehidupan malam, sebelum kembali ke kapal pelayaran menaiki pengangkutan tempatan terkenal iaitu tuk-tuk.
Setelah semua penumpang sampai ke kapal menjelang tengah malam, satu parti perpisahan akan diadakan di tepi kolam. -- BERNAMA