Stadium Nasional Bukit Jalil dicalonkan pada Festival Seni Bina Dunia 2017

Bernama
Julai 20, 2017 14:48 MYT
Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah dinaik taraf baru-baru ini telah dicalonkan dalam kategori Bangunan Baharu dan Lama di Festival Seni Bina Dunia 2017 yang bakal berlangsung di Arena Berlin, Jerman. - Foto Bernama
Stadium Bukit Jalil yang sudah dinaik taraf baru-baru ini telah dicalonkan untuk bertanding dalam kategori Bangunan Baharu dan Lama di Festival Seni Bina Dunia 2017, yang akan diadakan November depan di Arena Berlin, Jerman.
Stadium yang dibina pada 1994 itu adalah antara 17 bangunan yang dicalonkan bagi acara tersebut termasuk Kauri Timber Building di Auckland, New Zealand dan Grand Pera, Istanbul, Turki.
Menurut laman web Festival Seni Bina Dunia 2017 www.worldarchitecturefestival.com, kategori Bangunan Baharu dan Lama antara lain, terbuka kepada projek-projek kreatif guna semula atau adaptasi, ruangan awam atau reka bentuk bandar, kuarters bandar yang dibangunkan semula dan pusat bandar yang dihidupkan semula.
Kesemua projek yang layak bertanding dalam kategori itu pada festival tahunan untuk arkitek dan profesional hiasan dalaman tersebut perlu dilengkapkan antara 1 Jan 2016 hingga 1 Jun tahun ini.
Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan sebahagian daripada projek pembangunan semula yang menelan belanja RM499 juta sebagai persediaan untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Kuala Lumpur.
Projek itu termasuk menaik taraf dan mencantikkan Stadium Hoki Nasional dan Pusat Akuatik Kebangsaan.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter rasminya melahirkan rasa gembira apabila Bukit Jalil yang diindahkan semula dicalonkan bagi anugerah Festival Seni Bina Dunia 2017.
-- BERNAMA
#Bukit Jalil #Kuala Lumpur #stadium #sukan #Sukan Para ASEAN #Sukan SEA
;