SPRM anjur e-sukan, sebar mesej anti rasuah dalam kalangan belia
Hafizi Rosli
Jun 24, 2021 12:16 MYT
Jun 24, 2021 12:16 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil dengan pendekatan berbeza untuk menyebar mesej antirasuah dalam kalangan belia.
Ia melalui penganjuran kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 Challenge yang julung kali dianjurkan - bermula 1 Julai hingga 17 Julai depan sebagai usaha untuk mendekati Generasi Z atau kumpulan belia yang meminati e-sukan.
Kejohanan SPRM FIFA bertemakan 'Belia Menentang Rasuah' yang berlangsung secara dalam talian ini merupakan cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.
Menurut SPRM dalam satu kenyataan pada Khamis, ia merupakan pendekatan serampang dua mata kerana mesej antirasuah dan penerangan berkaitan jenayah rasuah di negara ini turut diselitkan sepanjang perlawanan tersebut.
Kejohanan anjuran bersama antara SPRM dengan THQ Esports Club yang diterajui oleh anak-anak muda ini diharap dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada generasi muda terhadap kesan rasuah yang bukan sahaja akan meruntuhkan organisasi malah mencemarkan imej serta reputasi negara.
Ia juga membuktikan SPRM memanfaatkan penggunaan teknologi ketika penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada program serta aktiviti pendidikan antirasuah yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka.
Pemenang pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM20,000.
SPRM FIFA 21 Challenge yang bakal disertai 2,048 atlet e-sukan tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Team Haq Esports Club dan SPRM Community.