Spesies baharu dinosaur ditemui di Mexico

Agensi
Mei 15, 2021 10:11 MYT
Fosil didakwa daripada spesies dinosaur baharu yang dianggarkan berusia 73 juta tahun. -AP
DINOSAUR telah pupus jutaan tahun dahulu dan kewujudannya hanya dapat dibuktikan, antara lain, melalui penemuan fosil.
Terbaharu, di utara Mexico, ahli paleontologi mendakwa mereka mengenal pasti spesies dinosaur baharu selepas menemui spesimen dianggarkan berusia 73 juta tahun.
“Kira-kira 72 atau 73 juta tahun yang lalu, dinosaur herbivor yang besar mati dalam air yang penuh dengan mendapan, sehingga badannya dilitupi bumi dan terpelihara berabad lamanya.
"Dinosaur ini memiliki telinga dengan kemampuan mendengar suara berfrekuensi rendah.
"Kemungkinan besar dinosaur ini jenis yang tenang tetapi banyak bercakap."
Demikian kenyataan Institut Antropologi dan Sejarah Nasional (INAH) dalam satu kenyataan sepertimana dilaporkan AFP.
Menurutnya, penyelidik berpendapat dinosaur tersebut adalah daripada spesies herbivor yang hanya makan tumbuh-tumbuhan.
Menurut INAH, spesies itu digelar Tlatolophus Galorum di mana ia pertama kali ditemui di wilayah General Cepeda, utara Coahuila pada 2013.
Nama Tlatolophus berasal daripada bahasa Nahuatl iaitu "tlahtolli" bermaksud "kata", dan "lophus" pula daripada perkataan Greek yang bermaksud "kepala".
Selepas penggalian diteruskan, mereka kemudian menemukan 80 peratus tengkorak, tulang paha dan bahu.
Menurut INAH, kajian ini masih di peringkat awal namun penyelidikan tersebut sudah diterbitkan dalam jurnal saintifik Cretaceous Research.
Begitupun, mereka menganggap ia adalah kes luar biasa dalam bidang paleontologi Mexico.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Mexico #dinosaur #fosil #paleontologi #INAH #spesies baharu #Institut Antropologi dan Sejarah Nasional #herbivor #Tlatolophus Galorum
;