SpeedFest 2024 dijangka cipta rekod perhimpunan kereta terbesar di Malaysia

Azib Zikry
Julai 13, 2024 10:45 MYT
Acara SpeedFest di KL Base, Sungai Besi pada 13 dan 14 Julai ini dijangka menarik ramai pengunjung, menjadikannya acara yang wajib dihadiri bagi sesiapa yang meminati kereta.
KUALA LUMPUR: Sebuah acara yang sedang berlangsung di KL Base, Sungai Besi, pada 13 dan 14 Julai, SpeedFest 2024 dijangka mencipta rekod dengan perhimpunan kereta terbesar di Malaysia.
Acara automotif terkemuka ini akan menghimpunkan peminat kereta dari seluruh rantau untuk menikmati acara dan budaya automotif yang tidak dapat dilupakan.
Menurut penganjurnya, ini dijangka menjanjikan pameran pelbagai jenis kenderaan, termasuk kereta yang diubah suai, kereta mewah, kereta restomod, kenderaan unik, dan kereta lumba.
Pengunjung juga boleh menantikan hujung minggu yang dipenuhi dengan kecemerlangan automotif, pertandingan yang mendebarkan, dan aktiviti yang menarik.
Pengarah urusan Carlist.my, KY Gan berkata, SpeedFest bukanlah sekadar pameran kereta, ia adalah sambutan yang mengujakan bagi mereka yang cintakan automotif, inovasi dan komuniti.
"Tahun ini, kami mahu pengunjung untuk menyaksikan pelbagai pengalaman yang luar biasa, dari pertunjukan drift hingga perlumbaan drag yang mendebarkan.
“Kami sangat teruja untuk menghimpunkan pelbagai jenis kenderaan dan peminat dari semua lapisan masyarakat, mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan dan melampaui batasan budaya kereta," katanya lagi.
Ditubuhkan dengan misi untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan memupuk komuniti pencinta kereta, SpeedFest telah berkembang dan berevolusi sejak penubuhannya pada 2023.
Acara tahun ini dijangka menarik ramai pengunjung, menjadikannya acara yang wajib dihadiri bagi sesiapa yang meminati kereta.
Menariknya kali ini legenda automotif Shoji Inoue, Jin Horino dan Daijiro Inada dari Jepun juga akan menjadi tetamu istimewa, memberi peluang kepada peminat untuk bertemu ikon-ikon ini.
#automotif #carfest #kereta #Shoji Inoue
;