Spare: Apa yang anda perlu ketahui tentang memoir Putera Harry

Astro Awani
Januari 15, 2023 11:40 MYT
Portal BBC menyifatkannya sebagai buku paling aneh pernah ditulis oleh anggota keluarga diraja. - Foto AP
DALAM memoir yang paling ditunggu-tunggu bagi tahun 2023, Putera Harry menceritakan versi kisahnya tentang kematian tragis bondanya Puteri Diana, kehidupan dalam Keluarga Diraja dan perkahwinannya dengan Meghan, Duchess of Sussex.
Ia menerima reaksi berbaur daripada orang ramai, malah portal BBC menyifatkannya sebagai buku paling aneh pernah ditulis oleh anggota keluarga diraja.
"Spare sebahagiannya ialah pengakuan, sebahagian lagi kata-kata kasar dan sebahagian lagi surat cinta. Ada kalanya, anda rasa seperti membaca teks yang ditulis oleh individu mabuk yang sedang marah," kata BBC dalam review mereka.
Berikut adalah ringkasan buku ini.
Bilakah buku Putera Harry dikeluarkan?
Ia mula dijual pada 10 Januari 2023.
Mengapa ia bertajuk Spare?
"Putera William adalah pewaris, sementara saya adalah gantian", tulis Harry. Kata Harry, ketika berusia 20 tahun, beliau mendengar ayahandanya memberitahu bondanya, “Bagus, awak telah memberikan saya seorang waris dan seorang gantian." Ia mungkin satu jenaka, tambah Harry.
Berapa banyak salinan Spare telah terjual?
Memoir itu menjadi buku bukan fiksyen terpantas yang pernah dijual, dengan lebih 1.4 juta salinan pada hari pelancarannya di seluruh UK, AS dan Kanada.
Apakah yang didedahkan oleh buku Putera Harry?
Memoir Spare Putera Harry merangkumi "perjalanan peribadinya daripada trauma kepada pemulihan". Terdapat bab tentang zaman kanak-kanaknya, pengalamannya dalam tentera dan berkhidmat di Afghanistan, serta kehidupannya sebagai suami dan bapa.
Mengapa beliau memilih untuk menerbitkan buku tersebut?
Dalam temu bual dengan Bryony Gordon dari Telegraph, Duke of Sussex itu berkata beliau tidak "bermaksud untuk meruntuhkan monarki", tetapi "cuba menyelamatkan mereka daripada diri mereka sendiri".
Harry berkata adalah mustahil untuk menceritakan kisahnya tanpa menyebut ahli keluarganya, "kerana mereka memainkan peranan penting, dan juga kerana anda perlu memahami watak dan personaliti setiap orang dalam buku itu".
Apakah perkara yang mendapat perhatian dalam buku Putera Harry?
Putera Harry menulis bagaimana Putera William secara fizikal menyerangnya semasa pertengkaran pada 2019, menyebabkan beliau mengalami kecederaan di bahagian belakangnya.
"Semuanya berlaku begitu pantas. Sangat pantas. Dia memegang kolar saya dan dia menjatuhkan saya ke lantai."
Harry juga mendakwa William menyifatkan Meghan sebagai seorang yang "sukar dan kasar".
Satu lagi detik mengejutkan adalah pendedahan tentang bagaimana Putera William dan Kate "meraung" apabila beliau memakai pakaian seragam Nazi ke pesta kostum pada tahun 2005. Harry menyifatkannya salah satu kesilapan terbesar dalam hidupnya.
Harry juga bercakap tentang pertemuan dengan William dan Raja Charles di pengebumian Putera Philip pada April 2021. Menurut memoir itu, Charles berdiri di antara anak lelakinya dan Harry memetiknya baginda sebagai berkata: "Tolong, anak-anak. Jangan sukarkan tahun-tahun terakhir saya".
Adakah Raja Charles telah membaca memoir Putera Harry?
Tidak diketahui sama ada Putera Harry memberikan salinan Spare kepada keluarganya. Dalam satu temubual, Harry berkata beliau tidak fikir ayahandanya akan membaca buku itu.
Raja Charles dan Putera William masing-masing tidak menjawab soalan media berkenaan buku itu.
Berapakah bayaran Putera Harry untuk menulis buku tersebut?
This Morning melaporkan bahawa Putera Harry dibayar £36 juta untuk menerbitkan buku tersebut.
#Putera Harry #Putera William #Keluarga DiRaja Britain #spare
;