Solat Jumaat dibenarkan? Ini apa yang anda perlu tahu
Nursyazwani Saiful Sham
Mei 10, 2020 09:26 MYT
Mei 10, 2020 09:26 MYT
SEJAK penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, antara aktiviti yang dilarang adalah termasuk aktiviti keagamaan.
Ini sekali gus bermakna, tiada sebarang ibadah jemaah dijalankan termasuk solat Jumaat dan solat tarawih.
Namun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyaksikan beberapa kelonggaran.
Jadi, timbul persoalan sama ada solat Jumaat sudah dibenarkan atau tidak?
Belum ada keputusan
Setakat ini, masih belum ada keputusan sama ada solat Jumaat akan mula dibenarkan semula semasa tempoh PKPB.
Ini kerana, Resolusi muzakarah berkenaan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh PKPB akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja sebagai panduan untuk dipertimbang dan diputuskan pihak berkuasa agama negeri.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.
Mesyuarat kabinet akan membuat keputusan
Pada masa sama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara yang melibatkan satu keputusan yang besar itu dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jawatankuasa itu kemudian akan membawa perkara berkenaan kepada mesyuarat Kabinet untuk membuat keputusan.
Perlis negeri pertama benarkan solat Jumaat bersyarat
Persoalan sama ada solat Jumaat sudah dibenarkan semula ini tercetus selepas Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini.
Keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Antara peraturan yang ditetapkan termasuk jumlah jemaah termasuk imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang dari tiga orang dengan hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang dibenarkan.
Kelantan cadang benarkan solat Jumaat, Pahang bincang dulu
Bagi negeri lain seperti Kelantan, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mencadangkan solat Jumaat dibenar didirikan di masjid namun secara fardu kifayah.
Memetik laporan Berita Harian, cadangan itu dikemukakan dalam Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk meneruskan syiar Islam selepas kerajaan memberikan kelonggaran kepada sektor ekonomi.
Sementara bagi Pahang, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman pula berpendapat, semua pihak perlu mengambil maklum nasihat dan kebimbangan pelbagai pihak sebelum dapat melaksanakan solat Jumaat di masjid dan surau.
Beberapa negara lain sudah mula membuka masjid
Penutupan masjid dan tempat beribadah lain bukan sahaja ditutup di Malaysia, malah beberapa negara Islam lain turut mengambil pendekatan sama bagi membendung penularan COVID-19.
Namun, selepas kes mula menurun dan beberapa kelonggaran sudah dikuatkuasakan, masjid dan tempat beribadah lain juga sudah mula dibuka.
Antaranya, di Songkhla, Thailand, Mauritania, Afrika dan di Bangladesh.
Bagaimanapun, langkah keselamatan tetap dilaksanakan termasuk menggunakan penutup mulut dan hidung, saringan suhu, pengunaan cecair pembasmi kuman dan penjarakan sosial.