Slip keputusan SPM mangsa lemas viral, netizen sebak namun bangga
Madiha Abdullah
Mac 3, 2016 21:16 MYT
Mac 3, 2016 21:16 MYT
BIARPUN jasadnya sudah tiada lagi di dunia ini, Allahyarham Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, tetap mampu memberikan senyuman dan rasa bangga buat ibu bapa dan keluarganya.
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini, menyaksikan Allahyarham cemerlang dengan keputusan 9A.
Slip keputusan peperiksaan Wafiq itu dimuat naik pelakon Mustapha Kamal ke akaun Facebook, dan ia pantas meraih perhatian.
Wafiq, pelajar Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, memperoleh A untuk kesemua sembilan mata pelajaran yang diambil, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan.
Gambar yang dikongsi itu kini viral dengan lebih 17 ribu likes dan hampir 3 ribu perkongsian.
Majoriti berkongsi rasa sebak namun dalam masa yang sama bangga dengan kejayaan Allahyarham.
Disember lalu, Wafiq dan rakannya Muhamad Naim Adnan, lemas ketika bermain air di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu.
Allahyarham ketika itu menyertai satu program keagamaan bersama sembilan pelajar lain.