Silverlakes Village Outlet bermandi cahaya, 150,000 bunga hiasi Pesta Lampu Flora
Aida Aziz
Februari 9, 2024 08:45 MYT
Februari 9, 2024 08:45 MYT
BATU GAJAH: Silverlakes Village Outlet di sini bermandi cahaya apabila sebanyak 150,000 kuntum bunga berlampu menghiasi sekitar tebing tasik selama 30 hari, bermula esok (10 Feb) hingga 10 Mac.
Lebih menarik apabila Pesta Lampu Flora yang bertemakan bunga tulip, ros serta pokok padi itu turut menampilkan itik gergasi terapung yang terbesar di Malaysia.
Menurut Pengurus Pesta Lampu Flora, Nur Muhammad Muhamad Zanini, pihaknya menyasarkan kira-kira 100,000 pengujung dari seluruh Malaysia untuk datang merasai sendiri keunikan cahaya bergemerlapan, khususnya ketika musim cuti persekolahan.
Tambahnya, faktor utama mengapa Batu Gajah menjadi lokasi untuk penganjuran pesta itu adalah disebabkan keluasan tempat dan pemandangan tasik yang bertepatan untuk tema kali ini.
"Keluasan tapak di sini ialah 12 ekar. Kali ini kita buat pembaharuan dengan itik gergasi di tengah tasik dan 'screaming fountain' di mana orang ramai boleh menjerit di corong yang disediakan dan air dari tasik akan memancut mengikut kekuatan lantunan suara.
"Ada juga taman kelip-kelip yang boleh bergerak dan berpusing. Paling istimewa ialah itik gergasi bersaiz 30 kaki tinggi dan 30 kaki lebar, itu yang terbesar di Malaysia.
"Seramai 10 orang tenaga kerja diperlukan untuk menyiapkan pemasangan bunga lampu, padi dan pelbagai hiasan di sini sejak 27 Jan lalu," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Nur Muhammad berkata, bertepatan dengan Tahun Melawat Perak tahun ini, termasuk cuti sekolah selama sebulan, orang ramai berpeluang membawa keluarga dan rakan, di samping melihat tarikan baharu di Silverlakes Village Outlet.
"Walaupun sebelum ini kami ada ketengahkan tema bunga di pesta seluruh Malaysia, tetapi boleh dikatakan kali ini yang terbanyak dipamerkan menggunakan bunga.
"Jika sebelum ini kita pernah cecah lebih 70,000 pengunjung di lokasi lain, tetapi sempena cuti sekolah ini mungkin lebih ramai yang akan datang dan merakamkan gambar kenangan di sini.
"Bukan saja pesta lampu, turut disertakan sekitar 20 gerai jualan untuk orang ramai makan dan minum di sini," katanya.
Antara tarikan lain yang ada di kawasan ini termasuk Soopa Doopa dan kereta LED kanak-kanak.
Tiket masuk berharga RM10 untuk dewasa, RM8 untuk kanak-kanak manakala orang kurang upaya (OKU) dan usia dua tahun ke bawah adalah percuma.
Pesta ini berlangsung setiap hari bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.