Silang budaya Malaysia-Indonesia perkukuh keakraban negara serumpun

Astro Awani
Jun 11, 2023 02:00 MYT
Borhan (dua, kiri) dan Syed Md Hasrin (tiga, kiri) bergambar bersama delegasi termasuk pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Lang, Kuala Langat di Dewan Malaysia, Jakarta. - Foto Astro AWANI
JAKARTA: Program silang budaya antara Malaysia dan negara luar perlu diperhebatkan lagi terutamanya melibatkan negara serantau seperti Indonesia.
Menurut Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, pertukaran dan perkongsian mengenai budaya negara masing-masing merupakan usaha penting dalam memastikan keakraban negara serumpun dapat diperkukuhkan.
Beliau memuji inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan yang menganjurkan program Silang Budaya Selangor & Indonesia 2023 di Jakarta dan Bandung.
“Dari segi hubungan dua hala ini, salah satu elemen yang penting ialah hubungan antara masyarakat. Inisiatif sebegini adalah salah satu cara bagaimana kifa hendak merapatkan hubungan tersebut.
“Kalau hubungan antara kedua-dua masyarakat itu baik, perselisihan dan perbezaan itu kita boleh raikan dan cari jalan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala," katanya ketika ditemui di sini.
Program silang budaya tersebut bertujuan memperkenalkan budaya Selangor termasuk persembahan cempuling oleh 14 murid dari Sekolah Kebangsaan Sungai Lang, Kuala Langat, enam ahli Kumpulan Muzik Asli Kencana Kuala Selangor dan wakil-wakil rasmi kerajaan negeri.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah berkata, persembahan cempuling yang merupakan seni muzik tradisional masyarakat Jawa di Selangor, mempunyai kelainan berbanding persembahan masyarakat Jawa di Indonesia.
“Walaupun dari komuniti Jawa, namun persembahannya ada sedikit kelainan di Selangor ini. Kelainan ini yang kita ingin tonjolkan kepada masyarakat di Indonesia. Dan pastinya juga kita ingin melihat dengan dekat persembahan masyarakat di Indonesia.
“Tujuan kita melibatkan anak-anak pelajar sekolah ini ialah bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang warisan budaya nenek moyang dan memastikan persembahan ini berterusan untuk generasi akan datang,” kata Borhan.
Program yang berlangsung bermula Jumaat hingga Selasa itu turut memfokuskan kepada beberapa acara lain dalam usaha mengukuhkan lagi keakraban antara dua negara.
#Indonesia #Selangor #Silang Budaya #Hubungan dua hala