Siapa Virginie Viard, pengganti Karl Lagerfeld di Chanel?
Israr Khalid
Februari 21, 2019 13:55 MYT
Februari 21, 2019 13:55 MYT
HOUSE OF CHANEL dianggap sebagai nama yang ‘hampir mati’ selepas sepuluh tahun pemergian pengasasnya, Gabrielle ‘Coco’ Chanel pada 1971.
Namun rumah fesyen Perancis itu telah membuat keputusan yang mengubah nasibnya dengan melantik Karl Lagerfeld sebagai pengarah kreatif pada 1983, mengembalikan martabat nama Chanel di mata dunia.
Selama 36 tahun unggul Lagerfeld memimpin Chanel, mencetuskan idea-idea dan eksperimen baharu yang segar, memecah tradisi dan melangkaui zaman sehinggalah ikon tersebut menghembuskan nafas terakhirnya tanggal 19 Februari lalu pada usia 85 tahun.
Siapa yang mampu mengikut jejak pencipta revolusi kelahiran Jerman itu? Takkan ada, tetapi semangat dan ilmunya diturunkan kepada seorang wanita yang amat dipercayai mendiang Lagerfeld.
House of Chanel sekali lagi telah membuat keputusan penting yang menentukan masa depan syarikat itu dengan melantik pengarah Fashion Creation Studio Chanel, Virginie Viard sebagai pengarah kreatifnya yang baharu sejurus pemergian Lagerfeld.
Viard bukan wanita biasa-biasa. Dialah wanita yang setia sebagai orang kanan Lagerfeld selama lebih 30 tahun, dan dilantik “supaya legasi Gabrielle Chanel dan Karl Lagerfeld akan terus bernyawa.”
Siapa sebenarnya Virginie Viard ini?
Dia bermula sebagai 'intern' di Chanel
Menurut laporan The Telegraph, karier Viard di Chanel bermula sebagai pelatih untuk persulaman ‘haute-couture’ pada 1987, empat tahun selepas Lagerfeld menjadi pengarah kreatif bagi jenama ikonik Perancis itu. Pegawai kepada Putera Rainier dari Monaco yang mengesyorkan Chanel untuk mengambil Viard bekerja.
Dia bekerja dengan Lagerfeld untuk lebih 30 tahun
Selepas bekerja bersama di Chanel, Viard menyertai Lagerfeld di Chloé dan bekerja di sana selama lima tahun sebelum kembali ke Chanel sebagai koordinator haute-couture, maklumnya kepada majalah Perancis, Crash. Dia mula mengerjakan pakaian siap-pakai pada 2000.
Mereka bekerja dengan begitu rapat setiap hari
“Saya menjadikan koleksi ini nyata bersama pereka Métiers d’Art, berdasarkan lakaran Karl,” maklum Viard kepada The Telegraph pada 2017. “Saya menyelaras pasukan, merujuk kepada pembekal dan memilih fabrik. Kemudian, semestinya, saya membuat pemasangan dengan Karl. Sejurus mendapat lakaran daripadanya, proses bermula. Saya cuba untuk menyenangkannya, tetapi saya juga suka untuk memberinya kejutan.”
Viard menambah dia dan Lagerfeld bercakap ‘setiap masa’ dan mereka berjumpa setiap hari. Ada kalanya Lagerfeld menghantar lakarannya menerusi telefon. “Keterlibatannya adalah total,” dia menambah.
Dalam siri dokumentari Netflix berjudul 7 Days Out, Lagerfeld berkata, “Virginie adalah insan yang paling penting, bukan hanya untuk saya tetapi kepada pereka, kepada segalanya. Dia adalah ‘tangan kanan’ saya dan walaupun kami tidak bertemu, saya akan berhubung menerusi telefon dengannya.”
Mereka sangat akrab, adakalanya Lagerfeld akan menghantar teks kepada Viard sebagai kucingnya, Choupette.
Viard memberitahu kepada majalah W bahawa Lagerfeld akan menghantar mesej sebagai kucing kesayangannya Choupette, kadang kala mesej dengan gambar haiwan peliharaan itu.
Persahabatan Lagerfeld dan Viard sama sekali tidak boleh dipertikaikan. “Dia adalah rektor kanan saya Virginie Viard, tangan kanan dan tangan kiri saya,” kata Lagerfeld memberitahu majalah Elle untuk isu November 2018. “Perhubungan kami sangat penting, digandakan dengan persahabatan yang sangat tulen.”
Viard tampil untuk ‘final bow’ Lagerfeld dalam pertunjukan fesyen pada Januari
Bulan lepas, Lagerfeld tidak hadir pada pertunjukan fesyen Chanel di Paris kerana “keletihan”, menurut satu kenyataan daripada jenama Perancis itu. Viard menggantikannya, diiringi model Vittoria Ceretti.
Dia juga turut menyertai Lagerfeld untuk ‘final bow’ di pertunjukan Chanel Metiers d’Art 2018/2019 di New York pada Disember dan pertunjukan musim bunga/panas 2019 bertemakan pantai di Paris pada Oktober.
Viard ada latar belakang rekaan kostum
Viard dilahirkan dalam keluarga yang cintakan fesyen. Atuk dan neneknya adalah pembuat sutera, katanya kepada majalah Crash. “Saya juga tertarik kepada industri ini, tetapi apa yang saya mahukan adalah membuat kostum untuk teater. Saya bermula dalam produksi kostum sebagai pembantu kepada Dominique Borg, yang dikenali menghasilkan kostum untuk Camille Claudel; kemudian saya menjadi pereka kostum untuk filem dan lakonan pentas, sehingga saya bertemu Karl, yang mencadangkan supaya saya bekerja di Chanel kemudian di Chloé.
Walaupun punca rezekinya adalah dalam dunia fesyen, dia juga membuat beberapa sumbangan dalam dunia filem, bekerja dengan pelakon Perancis, Isabelle Adjani dan pengarah, Bruno Nuytten. Dia turut mencipta kostum untuk filem Three Colors: Blue (1993) yang dibintangi Juliette Binoche dan Three Colors: White (1994), kedua-duanya diarahkan oleh pengarah Poland, Krzysztof Kieslowski.
#Chanel
#fesyen
#Gabrielle Chanel
#haute couture
#House of Chanel
#Karl Lagerfeld
#meninggal dunia
#pengarah kreatif
#Virginie Viard