Siapa kata kerja menyelamat haiwan tugas mudah?
Madiha Abdullah
Ogos 16, 2020 11:00 MYT
Ogos 16, 2020 11:00 MYT
TUGASAN menyelamat haiwan sebenarnya tidaklah semudah yang dilihat.
Malah, ia adakalanya merupakan satu tugasan yang berisiko.
Itu yang dihadapi sekumpulan penyelamat Hope For Paws (HFP), sebuah organisasi menyelamat haiwan di California, Amerika Syarikat.
HFP pada Sabtu memuat naik sebuah video bagaimana mereka menyelamatkan seekor anak kucing yang ditemui sesat di lebuh raya.
Individu yang menemui kucing itu pada mulanya mahu menyelamatkan si comel itu sendiri namun tidak mampu berbuat demikian kerana ia menyorok di bahagian tayar kereta.
"Saya dihubungi seorang wanita, Nelly Barajas, yang memaklumkan menemui seekor anak kucing di lebuhraya. Kucing itu lari ke bawah kereta dan menyorok di bahagian tayar ketika mahu diselamatkan.
"Ia satu tugasan merbahaya kerana kereta ketika itu berhenti di tengah-tengah lebuh raya. Nelly tidak boleh mengalihkan keretanya kerana bimbang akan mencederakan anak kucing itu," katanya penyelamat, Eldad Hagar.
Hagar terpaksa menggunakan sebuah kamera khas untuk mengesan kedudukan anak kucing itu, dan berjaya 'menangkapnya' dalam masa beberapa minit sahaja!
Anak kucing yang dinamakan Bellflower itu kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di Los Angeles. Ia disahkan dalam keadaan sihat dan menanti masa yang sesuai untuk ditemukan dengan adopter yang dipilih untuk memeliharanya.
"Bellflower masih takut-takut dan kami juga masih perlu memastikan kesihatannya di tahap 100 peratus sebelum dibenarkan dibawa pulang bersama adopter," kata Hagar.
Hagar yang sudah lebih lima tahun menjalankan aktiviti menyelamat haiwan, bagaimanapun berpesan kepada orang ramai agar tidak sesekali memberhentikan kereta di lebuhraya tanpa mengambil langkah keselamatan sepatutnya.
"Jika anda berada dalam situasi seperti ini, hubungi pihak yang bertanggungjawab seperti peronda lebuhraya, pasukan bomba atau pasukan penyelamat kerana ia sangat berbahaya jika dilakukan sendiri," tegas Hagar.