Si comel masih 'melepas' merata-rata? Lima perkara ini boleh membantu
Madiha Abdullah
Oktober 18, 2020 12:48 MYT
Oktober 18, 2020 12:48 MYT
BAGI mereka yang baru memelihara kucing, melatih kucing menggunakan litter box atau kotak pasir tentunya memberi cabaran tersendiri, apatah lagi jika kucing berkenaan berasal dari jalanan.
Jika si comel anda enggan menggunakan litter box, mari lihat lima perkara ini yang boleh diaplikasikan untuk membantu anda.
1) Pastikan pasir dan kawasan pasir bersih. Walaupun ia tempat membuang najis, kucing tidak selesa jika tempat itu bersepah, kotor dan busuk. Caranya, pastikan anda membuang semua 'hasil buangan' sekali sehari, lapkan tempat itu dengan sabun dan semburkan wangian yang bersesuaian.
2) Cari lokasi yang sesuai untuk meletak kotak pasir tersebut. Elakkan tempat yang terlalu terasing dan jauh.
3) Jangan ubah kedudukan kotak pasir berkenaan. Anda perlu tahu yang kucing tidak sukakan perubahan.
4) Jika anda mempunyai lebih dari seekor kucing, belilah lebih daripada satu kotak pasir. Jika mampu, khususkan satu kotak untuk seekor kucing. Ini adalah untuk memastikan keselesaan kucing-kucing anda.
5) Jika kucing masih 'melepas' merata-rata, mungkin tiba masa untuk anda cari kotak pasir lain. Faktanya, kucing gemarkan tempat yang kering dan lembut. Seperti mana kita sendiri memerlukan tandas yang selesa, begitu juga dengan si comel.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!