Sertai Kempen Kasih Ramadan, Fizi Ali santuni golongan memerlukan buat persiapan Aidilfitri

Faida Rahim
April 19, 2023 08:30 MYT
Fizi Ali bersama Yayasan Ikhlas berbesar hati dapat membantu golongan seperti anak yatim, keluarga asnaf untuk berbuka serta bersahur termasuk mereka yang menetap di PPR Sungai Besi. - Foto Yayasan Ikhlas
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Fizi Ali teruja dapat meluangkan masa membantu mengagihkan keperluan hari raya Aidilfitri bersama golongan kurang berkemampuan pada tahun ini.
Menurut Fizi, dia menyertai program amal Kempen Kasih Ramadan yang dianjurkan pihak Yayasan Ikhlas (YI) Malaysia untuk menyumbang kepada keluarga asnaf, anak-anak yatim dan ramai lagi.
"Saya bersama Yayasan Ikhlas tahun ini dapat turut serta sangat berbesar hati sebab dapat menolong golongan seperti anak yatim, keluarga asnaf untuk berbuka serta bersahur untuk mereka yang menetap di PPR Sungai Besi.
"Antara barangan yang diberikan antaranya set kelengkapan raya seperti baju Melayu, baju kurung, kuih raya selain duit raya RM100. Ada juga berikan pek iftar dan sahur serta kotak makanan mengandungi keperluan harian," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Tambah Fizi, dia juga berkesempatan menyertai acara membuat bubur lambuk bersama warga kerja Yayasan Ikhlas untuk dibahagikan di surau berdekatan.
“Untuk makcik dan pakcik yang tidak berupaya, kita bersama ahli jemaah masjid turun padang menghantar bantuan terus ke rumah.
“Saya puji usaha Yayasan Ikhlas ini selain di sekitar Semenanjung, mereka juga terbabit dengan misi bantuan di Sabah, Sarawak. Hebat dengar cerita misi mereka. Mana tahu mereka boleh buat misi sama ke luar negara pula. InsyaAllah. Yang nak menderma dan menyumbang, silalah berbuat demikian. Tak dapat sumbang duit dengan tenaga pun boleh,” kata Fizi.
Menurut Pengerusi YI, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, tahun lalu bantuan disalurkan merangkumi 146 lokasi di seluruh Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Tambahnya lagi, tahun ini sejumlah 15,691 penerima sudah menerima manfaat itu dengan jumlah sasaran keseluruhan 25,000.
“Tahun ini kita teruskan bantuan termasuk di sekitar Lembah Klang. Malah khidmat penyampai radio Fizi Ali turut serta sebagai perantara memeriahkan projek ini dengan turun padang ke lokasi berkenaan.
“Tiga bantuan disalurkan termasuk pertama kotak makanan mengandungi barang keperluan harian bernilai RM100 bagi setiap keluarga. Ia termasuklah sekampit beras, sepaket bihun dengan berat 400 gram, minyak masak, tepung gandum, gula, kicap, sos cili, kordial berperisa dan sekotak kurma.
“Kedua, pek Iftar dan Sahur yang siap dimasak diagihkan kepada anak yatim dan keluarga asnaf. Ketiga, set kelengkapan raya bernilai RM200 seperti baju, biskut dan sumbangan duit,” katanya.
#Hari Raya Aidilfitri #kuih raya #Fizi Ali #Kempen Kasih Ramadan
;