Seronok bercuti, Mark Zuckerberg kongsi gambar salin lampin bayi pula
Syafique Shuib
Disember 12, 2015 20:09 MYT
Disember 12, 2015 20:09 MYT
KEPUTUSAN untuk mengambil dua bulan bercuti setelah kelahiran anak perempuannya, ternyata membuat pengasas Facebook Mark Zuckerberg ada lebih banyak masa untuk bersama keluarga dan kongsi detik-detik indah itu di laman media sosial yang diasas oleh beliau sendiri.
Terbaru, Zuckerberg kongsi gambar menukar lampin anaknya yang bernama Maxima Chan Zuckerberg.
“Satu sudah selesai, ribuan lagi menyusul,” katanya di Facebook
Setakat ini ia menerima hampir 1.5 juta Likes dan hampir 31,000 komen.
“Berita sebenar adalah bukan mengenai Zuck tukar lampin… ia lebih kepada Zuck memakai t-shirt berwarna ungu,” tulis Giselle Hale.
R F Mvs pula bertanya, “Mark Zuckerberg, anda pasti dengan apa yang anda lakukan?”
Sejak mengambil cuti, Zuckerberg lebih aktif dalam perkongsiannya dalam laman media sosial itu.
Dalam satu kemas kini status pada 10 Disember, Zuckerberg yang berbangsa Yahudi itu berkata dia tidak akan sekali-kali membenarkan organisasi pimpinannya itu 'terjebak' dalam krisis yang timbul antara masyarakat Barat dan Islam.
Biarpun tidak menyebut mana-mana nama, status yang dimuat naik Zuckerberg itu dianggap seolah-olah satu bentuk jawapan dan sindiran kepada calon presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mencadangkan agar umat Islam dihalang daripada memasuki negara tersebut.
Selain itu, beliau juga kerap kongsi gambar beliau bersama Maxima.