Sering pesan makanan secara 'online', tanpa sedar kita jadi pemusnah alam!
Saraya Mia
Disember 20, 2020 09:06 MYT
Disember 20, 2020 09:06 MYT
SEJAK pandemik COVID-19 melanda negara, banyak amalan norma baharu yang manusia perlu biasakan dalam urusan seharian.
Antaranya adalah saranan untuk terus berada di rumah ketika arahan Perintah kawalan Pergerakan. Malah ketika perintah itu dilonggarkan, kita tetap disyorkan untuk tidak keluar rumah jika tiada urusan penting.
Untuk mengisi waktu ketika lebih kerap berada di dalam rumah, banyak urusan kini perlu dilaksanakan secara dalam talian - dari membayar bil, menikmati sumber hiburan, membeli-belah hinggalah kepada memesan makanan.
Amalan memesan makanan bungkus untuk dihantar terus ke kediaman semakin meningkat sehingga mencapai tahap tertinggi dalam rekod.
Berkaitan kelaziman ini, timbul pula isu lain yang tanpa kita sedar memberi impak buruk kepada persekitaran kita.
Bak kata peribahasa "bagai cari umbut kena buku", begitulah situasinya, kerana di sebalik semua kemudahan online itu, timbul isu penggunaan, pembuangan, lambakan dan pencemaran sampah plastik daripada bungkusan makanan yang dihantar.
Bukan sahaja beg plastik, malah bekas makanan, bungkusan kecil, sudu, garpu malah penyedut minuman juga adalah daripada material plastik, yang akhirnya dibuang begitu sahaja.
Sudahlah selama ini isu pengurusan sampah belum mendapat penyelesaian menyeluruh, ditambah pula dengan amalan baharu ini yang memburukkan lagi situasi.
BERIKUT ADALAH SARANAN UNTUK KITA JADI MANUSIA YANG LEBIH BERTANGGUNGJAWAB:
1) Pesan makanan tanpa sudu dan garpu plastik
Sudu dan garpu plastik mampu memberi kesan yang besar terhadap alam sekitar. Selain bahan itu tidak boleh dikitar semula, ia sering hanya digunakan sekali. Jika ada yang menyimpan untuk menggunakannya semula pun, ia tetap akan dibuang sejurus ia patah atau tidak dalam keadaan ideal.
Oleh itu, pesanlah makanan anda, dengan pilihan tidak menyertakan sudu atau garpu. Undang-undang yang menyelaraskan semua premis makanan untuk memberi perkakas plastik hanya jika ia diminta adalah bagus, namun lebih baik jika pilihan itu ditiadakan. Bukankah ia dapat mengurangkan kos peniaga?
2) Pelbagaikan cara pembungkusan tanpa plastik
Untuk menghapuskan kesemua plastik dalam pembungkusan memang sukar. Tapi kita ada beberapa pilihan lain untuk difikirkan, setidak-tidaknya dapat mengurangkan kebergantungan 100 peratus pada plastik.
Pihak pengusaha makanan dan minuman boleh mempertimbangkan kaedah pembungkusan dengan bahan yang lebih semulajadi menggunakan bahan seperti daun pisang, daun teratai, kertas khas serta diikat dengan tali yang juga bukan dari jenis plastik.
Kreativiti memainkan peranan. Ini paling ideal untuk membungkus bahan yang kering, atau yang tidak berkuah atau bercecair. Negara jiran seperti Thailand dan Indonesia sudah memulakannya, malah untuk barangan jualan di dalam pasar raya.
3) Elak bungkus makanan guna polistirena
Polistirena adalah bahan plastik yang sering ditemui di jalanan, sama ada dalam bentuk kotak isian barang, ataupun pembungkus makanan. Bukan saja ia tidak boleh dikitar semula, kewujudannya juga boleh mencemarkan bahan-bahan lain yang boleh dikitar semula di dalam tempat pengumpulan yang sama.
Pada satu masa, penggunaannya di Malaysia sebagai pembungkus makanan telah diharamkan namun masih ada pihak yang secara 'terpencil' menggunakannya (mungkin kerana masih ada stok dalam simpanan).
Sebagai alternatif, ambil langkah untuk membawa bekas makanan sendiri dari rumah (ke tempat jualan makanan) untuk mengelak kegunaan pembungkus polistirena mahupun plastik sekali guna, yang akhirnya dibuang dan menyebabkan pencemaran dan mengancam hidupan.
4) Dapatkan maklumat tentang perkhidmatan kitar semula di kawasan anda
Perkara ini adalah penting untuk memastikan bahan-bahan yang telah dikumpul untuk dikitar semula, sampai ke destinasi kilang atau pusat kitar semula dan bukan dilonggokkan di tapak pelupusan.
Layari internet untuk mengetahui syarikat kitar semula berdekatan, mencari pusat pengumpulan bahan kitar semula yang terdekat, atau menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan keterangan tentang program-program kitar semula.
5) Pastikan bekas makanan dibersihkan sebelum dikitar semula
Bekas makanan seperti bekas plastik atau kotak yang mempunyai sisa makanan boleh mencemari bahan kitar semula yang lain seperti kertas atau kadbod.
Cara terbaik adalah untuk mengosongkan dan mencuci bekas makanan itu terdahulu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah kitar semula.
6) Anggap kitar semula sebagai pilihan terakhir
Walaupun mengitar semula sampah mempunyai kebaikannya, namun ia bukan jalan penyelesaian bagi isu sampah di Malaysia.
Oleh itu, ia sangat penting untuk masyarakat mengurangkan kegunaan dan permintaan bekas bungkusan makanan terutamanya dari jenis sekali guna, dan pilih bekas yang boleh dikitar semula jika perlu.
Setiap langkah kecil kita, mampu menjadi titik-tolak kepada perubahan!
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#plastik
#bungkusan
#makanan
#Malaysia
#pandemik
#pembaziran
#weekender
#norma baharu
#SantaiHujungMinggu
#shm
#perkhidmatan penghantaran makanan
#bungkus makanan
#rumah
#impak
#alam sekitar
#pesan makanan
#kitar semula