Serangan strok boleh dielak? Ini penjelasan doktor
Keluarga
April 30, 2022 11:30 MYT
April 30, 2022 11:30 MYT
ANGIN AHMAR atau strok tidak berlaku dengan sekelip mata. Proses mendapat serangan strok bermula antara 10 hingga 15 tahun sebelum terjadinya strok.
Sebagai contoh, jika seorang itu mengalami strok pada usia 55 tahun, proses untuk mendapat serangan strok bermula ketika berumur 40 hingga 45 tahun, apabila pesakit tidak mengawal penyakit metabolik kronik mereka dengan baik.
Contoh penyakit metabolik yang kronik adalah diabetes, hipertensi dan tahap kolestrol. Penyakit ini harus dikawal dengan baik. Jika tidak dalam masa 10 hingga 15 tahun, pesakit tersebut boleh mendapat serangan strok.
Selain itu tabiat merokok dan minum arak haruslah dihentikan. Pastikan cukup rehat dan tidur, dan kawal tekanan dengan baik.
Satu perangkaan yang dikeluarkan oleh The Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide pada tahun 2016 menjangkakan di Malaysia setiap empat orang, seorang akan diserang strok menjelang tahun 2040 jika tiada langkah pencegahan yang diambil.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Monitoring Stroke Burden di Malaysia iaitu satu kajian yang dilakukan pada 2017 menjangkakan seramai 150 dari 100,000 rayat Malaysia akan mengalami serangan strok dengan purata 92 kes sehari. Daripada jumlah itu 40 peratus berusia bawah 60 tahun.
Pada masa ini, kira-kira 32 kematian sehari dilaporkan akibat serangan strok. Tujuh daripada 10 pesakit yang diserang strok memerlukan bantuan orang lain untuk menguruskan aktiviti seharian mereka.
BOLEHKAH SERANGAN STROK DIELAKKAN?
Apa yang menarik serangan stroke ini boleh dielakkan. Dalam kajian pada tahun 2014 yang diterbitkan dalam British Journal of Nutrition mencadangkan pengamalan Diet Mediterranean.
Terdapat banyak bukti Diet Mediterranean dapat merendahkan risiko serangan strok dan serangan jantung.
Minyak Zaitun adalah tunggak kepada diet ini selain dari pengambilan banyak sayur-sayuran dan protein dari laut.
Dalam kajian itu pengambilan 25 gm (dua atau tiga sudu besar) minyak zaitun sangat membantu merendahkan tekanan darah, mengurangkan tahap kolesterol dan mengawal gula dengan lebih baik.
Sama ada kesan secara langsung atau tidak langsung pengambilan minyak zaitun sangat bermanfaat bagi mengelakkan serangan strok.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
* Artikel asal disiarkan di Keluarga.