Serangan jantung: Golongan muda perlu segera ubah gaya hidup - Pakar

Wan Syamsul Amly
Februari 19, 2020 22:18 MYT
DR ZUL HILMI: Ada juga kes serangan melibatkan sakit atas perut yang selalu dikelirukan dengan penyakit gastrik. - Gambar KPJ
Golongan muda dinasihatkan mengawal gaya hidup dengan pemakanan sihat, mengurangkan risiko diabetis, kerap bersenam dan tidak merokok untuk menjauhi serangan sakit jantung.
Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Zul Hilmi Yaakob, menjelaskan, ia termasuk mengetahui tanda-tanda sakit jantung dan menyedari serangan itu bukan tertakluk kepada golongan warga emas semata-mata.
"Apakah tanda-tanda serangan jantung? Biasanya pesakit akan mengadu sakit dada di bahagian tengah, rasa seperti ditekan, berat dan ketat.
"Pada masa sama mereka mengalami masalah kesukaran bernafas, berpeluh dan lenguh bahagian tangan kiri.
"Ada juga kes serangan melibatkan sakit atas perut yang selalu dikelirukan dengan penyakit gastrik dan kadang-kadang rasa dicekik di leher, ada juga tetapi tidak berapa biasa," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, pada Rabu.
BACA: Stres punca orang muda maut diserang sakit jantung - Pakar
BACA: Kawal denyutan, ini formula untuk anda kira had denyutan jantung!
Pangkalan Data Kardiovaskular Kebangsaan, 2015 menunjukkan kira-kira satu dalam empat pesakit yang menghidap masalah jantung adalah berusia bawah 50 tahun.
Umur purata pesakit di Malaysia adalah 58.5 tahun, lebih muda berbanding Thailand (63.5 tahun) dan 68 tahun di Singapura.
Dalam pada itu kata Dr Zul Hilmi, antara rawatan pencegahan yang dilakukan untuk pesakit jantung adalah pengambilan ubat-ubatan untuk seumur hidup, rawatan revaskularisasi, angioplasti serta pembedahan pintasan jantung.
Sebelum ini, pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad mendedahkan stres menjadi faktor utama golongan muda maut akibat serangan jantung.
Katanya, serangan sakit jantung juga bukan hanya dipengaruhi oleh faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan obesiti, bahkan stres telah dibuktikan berdasarkan penemuan baharu oleh pakar perubatan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebelum ini berkata, penyakit jantung iskemik atau ischaemic heart diseases kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,267 kematian atau 15.6 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2018.
Berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2019, kematian disebabkan penyakit jantung iskemik meningkat 35.3 peratus berbanding 13,503 kematian pada 2017.
#angioplasti #bernafas #diabetis #Dr Zul Hilmi Yaakob #gastrik #Ischaemic heart #KPJ Tawakkal #revaskularisasi #sakit jantung #Singapura #stres #Thailand #warga emas
;