Seni menghias fabrik dengan emas 'telepuk' semakin dilupakan

Hafizi Rosli
Oktober 30, 2022 11:45 MYT
Mohd Azwarin menunjukkan cara seni telepuk menggunakan dengan melekatkan kepingan emas tulen ke atas fabrik - Foto Astro AWANI/Hafizi Rosli
KUALA TERENGGANU: Seni menghias fabrik dengan kepingan emas atau dikenali sebagai seni telepuk pada dahulunya mendapat tempat dalam masyarakat terutama 'golongan istana’, namun kini semakin dilupakan.
Ia berikutan kekurangan permintaan, malah mereka yang mencebur diri dalam bidang ini juga sangat terhad - mengakibatkan tradisi nenek moyang ini berisiko untuk lenyap selamanya.
Suatu ketika dahulu, fabrik tradisional yang menjadi lambang kemegahan Melayu Nusantara dipercayai dibawa oleh pedagang-pedagang Bugis dari Sulawesi, Indonesia.
Seni ini melibatkan proses menekap motif menggunakan cop atau cap ukiran kayu yang bergam ke atas pelbagai fabrik seperti kain tenung benang halus, songket, sebelum dilekatkan kertas emas di atasnya.
Kesenian telepuk turut terkenal di negara-negara seperti China, India dan Jepun namun di sana dikenali sebagai hiasan emas pada fabrik atau kain prada.
Menurut artisan telepuk, Mohd Azwarin Ahmed, pakaian tradisional ini pada dahulunya digunakan untuk majlis rasmi di istana namun jelasnya ia kini boleh dipakai oleh masyarakat biasa.
“Pada zaman larangan itu tidak terpakai. Cuma mungkin nak masuk ke istana tidak sesuai bagi masyarakat kerana ia dikhaskan untuk kerabat.
“Itu juga jadi faktor mengapa ia tidak dapat sambutan selain artisan yang hanya 2-3 orang sahaja menyebabkan ia mungkin ditelan zaman,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Selain daripada dibuat untuk pakaian, seni elepuk juga digunakan pada tanjak, samping dan juga selendang.
Faktor harga juga merupakan seni tradisi ini semakin tidak mendapat tempat kerana ia menggunakan kepingan emas tulen dibawa dari negara jiran.
Namun kain telepuk ini diyakini boleh bertahan untuk ratusan tahun tetapi sangat sensitif dan tidak boleh dibasuh, cukup sekadar diasap dengan wangian.
Jelas Mohd Azwarin, sekiranya tiada inisiatif untuk memartabatkan kembali seni telepuk ini, maka ia akan luput ditelan zaman.
“Jika dahulu kesenian tradisional ia dipayungi oleh institusi diraja. Istana akan memelihara kesenian, fabrik, senibina. Saya berharap agar institusi diraja dapat memperkasakan kembali kesenian lama ini.
“Melalui ini artisan dapat berpayung selain galakan untuk institusi kerajaan dan NGO untuk turut sama membantu dari sudut promosi, kewangan dan kemahiran untuk kita pastikan ia terus dikenali masyarakat,” dakwanya.
Beliau juga berharap agar generasi kini terus membuat kajian dan mempelajari karya seni agung telepuk ini.
#telepuk #fabrik tradisional #terengganu #Istana
;