Seni mempertahankan diri sebagai terapi kanak-kanak OKU
Dania Zainuddin
Ogos 21, 2016 14:25 MYT
Ogos 21, 2016 14:25 MYT
TEKNIK dan disiplin yang diamalkan dalam seni mempertahankan diri mampu menjadi terapi dan alternatif kepada golongan orang kurang upaya (OKU) khususnya kanak-kanak.
Menurut Ketua Jurulatih Taekwondo SEN Master Academy, Mohd Khaldun Redza, seni mempertahankan diri ini mampu membantu kanak-kanak dalam pelbagai aspek termasuk kordinasi, pergerakan, kemahiran bersosial dan keyakinan diri.
Mohd Khaldun yang menyediakan program terapi seni mempertahankan diri kepada kanak-kanak OKU berkata pendekatan yang digunakan tidak agresif dan tidak sama dengan teknik yang biasa digunakan.
"Kanak-kanak atau individu di sini diajar senaman dan seni bina diri bagi memperbaik kelemahan diri seperti kelemahan fizikal kognitif, tingkah laku, fokus dan lain-lain," kata Mohd Khaldun dalam satu temu bual ekslusif bersama Astro AWANI.
Jelasnya, menerusi latihan dan senaman yang dilakukan, kanak-kanak ini mampu menjadi lebih yakin, bermotivasi, mampu mengawal diri untuk melakukan aktiviti harian.
Penting untuk orang ramai mengetahui, kebanyakan kanak-kanak kelainan upaya atau bermasalah dalam pembelajaran hanya mempunyai gangguan fungsi neurologi dan ini tidak membabitkan tahap intelektual mereka.
"Melalui latihan seni bina diri, iaitu yang dirangkumi di bawah skop terapi pergerakan. Kita tahu bahawa setiap pergerakan kita memerlukan fungsi otak.
"Dengan itu, setiap latihan yang dilakukan akan membantu menajamkan neuron sel otak, menjana semula sel-sel otak yang mungkin boleh membantu mereka mengawal dan mengatasi kelemahan diri," kata Mohd Khaldun.
Program yang dikendalikan Mohd Khaldun dan pasukannya merupakan program yang pertama diwujudkan di Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada Mac lalu, program itu sudah mendapat sambutan lebih 20 peserta kanak-kanak OKU yang berdepan pelbagai masalah seperti Autism, Down Sindrom termasuk Microcephaly.
Dia berharap program ini dapat diperluas supaya lebih ramai kanak-kanak OKU menyertainya.