Semai aktiviti memanah sejak awal mampu tingkatkan fokus, disiplin kanak-kanak
Bernama
September 21, 2019 04:17 MYT
September 21, 2019 04:17 MYT
Sukan memanah sudah tidak asing dalam kalangan masyarakat malah kegiatan yang lebih dikenali sebagai aktiviti sunnah bagi umat Islam itu sudah banyak dipertandingkan sama ada di peringkat dalam mahupun luar negara.
Presiden Pemanah Tradisional Pulau Pinang Saharuddin Abdullah berkata sukan memanah seharusnya dipupuk dan disemai sejak di awal usia lagi.
"Pendedahan terhadap sukan memanah tradisional dalam kalangan kanak-kanak amat digalakkan kerana mereka ini cepat belajar, mudah dilentur dan dibentuk," katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui pada Pertandingan Memanah Pemanah Tradisional Terbuka peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini pada Sabtu.
Seramai 104 orang pemanah cilik berumur antara enam hingga 17 tahun menyertai pertandingan sesi keenam pada tahun ini yang masuk tahun kedua penganjurannya.
Saharuddin berkata sukan memanah tradisional umumnya tidak menggunakan sebarang alat bantuan seperti yang ada pada alat memanah moden yang mempunyai teropong, tempat meletak anak panah serta alatan bantuan yang lain.
"Alat memanah tradisional hanyalah busur manakala anak panah yang digunakan adalah lebih bebas iaitu diperbuat daripada karbon, gentian, buluh, kayu, aluminium dan campuran. Malah ketepatannya bergantung kepada mata hati semata-mata, tidak perlu teropong. Itu yang cuba kita terapkan dalam diri mereka," katanya.
Saharuddin yang juga seorang pemanah berkuda berkata sukan memanah dilihat mampu membentuk titik fokus dalam diri seseorang seterusnya menjadikannya sebagai individu yang mempunyai jati diri yang terpuji.
"Apabila seseorang kanak-kanak itu mula menyesuaikan diri dengan sukan ini, ia secara tidak langsung dapat melatih kestabilan mindanya seterusnya mampu melatih mereka untuk lebih tenang apabila menghadapi pelbagai situasi," katanya.
Jelasnya, aktiviti memanah dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya sekali gus menunjukkan sukan tersebut semakin diterima oleh masyarakat.
"Di negeri lain sudah banyak menampilkan pemanah cilik yang mewakili kelab menerusi pertandingan yang diadakan di seluruh negara, namun kita cuba untuk menggalakkan penyertaan mereka menerusi pertandingan yang dianjurkan supaya lebih banyak bakat yang dapat dicungkil untuk kita ketengahkan," katanya.
Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu kelulusan Liga Memanah Kebangsaan Tradisional untuk mengetengahkan pemanah cilik di dalam liga itu supaya dapat menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA