Selepas 'umpan' pelancong dengan tomyam, ekonomi Thailand kini melimpah-ruah
Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Februari 18, 2019 10:19 MYT
Februari 18, 2019 10:19 MYT
SAMA ada sedar atau tidak, sekiranya melancong ke luar negara anda pasti akan menjumpai restoran Thailand.
Walaupun mengembara ke pelusuk dunia yang jauhnya beribu batu dari negara Gajah Putih itu, nyata untuk mencari makanan Thailand bukanlah sukar.
Dianggarkan terdapat lebih 15,000 restoran Thailand di seluruh dunia.
Di Amerika Syarikat sahaja terdapat lebih 5,000 restoran Thailand yang beroperasi walaupun hanya ada 300,000 masyarakat Thai di negara itu.
Kenapa masakan Thai begitu digemari dan jumlah restorannya juga sangat banyak? Jawapannya, kerana kerajaan Thailand membiayai dana untuk restoran-restoran ini beroperasi.
Pada tahun 2001, sebuah syarikat iaitu Global Thai Restaurant Company ditubuhkan dengan satu misi iaitu mewujudkan 3,000 restoran makanan Thai di seluruh dunia.
Penubuhan syarikat ini bukan untuk keuntungan tetapi adalah sebahagian strategi kerajaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan dan meningkatkan eksport mereka.
Selain itu, ia juga antara usaha Thailand untuk mengembangkan kekayaan budaya mereka.
Tidak cukup dengan sokongan kerajaan, bank-bank di Thailand turut membantu usahawan dengan memberikan dana dengan kadar faedah yang berpatutan.
Inisiatif ini membuahkan hasil!
Sebagai perbandingan, pada tahun 2013, industri pelancongan menyumbang 9 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand. Tetapi pada tahun 2016, sektor itu terus meningkat hingga 17.7 peratus.
Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn mengakui populariti makanan Thai di seluruh dunia dan menegaskan masyarakat Thai begitu mengambil berat mengenai warisan kulinari mereka.
"Ini adalah sebahagian daripada diplomasi budaya dan kami berharap masyarakat dunia dapat menikmati serta memahami kekayaan warisan makanan kami.”
Sasitorn juga menambah yang Kementerian Perdagangan Thailand turut memperkenalkan inisiatif Thai Select, iaitu pengiktirafan buat restoran Thai yang mengekalkan keaslian dan kualiti masakannya.
Dengan cara ini, kualiti makanan Thai di seluruh dunia berada pada satu tahap yang standard.
Satu kajian daripada Bangkok Research Center mendapati 63.3 peratus pelancong asing berkunjung ke Thailand kerana faktor makanan, 47.1 peratus kerana layanan mesra, manakala 46.5 peratus kerana artifak dan tapak bersejarah di negara itu.
#Amerika Syarikat
#Bangkok
#diplomasi budaya
#Duta Thailand
#ekonomi
#Gastrodiplomacy
#kulinari
#Malaysia
#masakan
#Narong Sasitorn
#pelancongan
#Saudara Serumpun
#Thailand
#Tomyam
#usahawan