Selepas Spiderman, kini Deadpool pula berniaga sarapan
Madiha Abdullah
Mac 3, 2016 14:57 MYT
Mac 3, 2016 14:57 MYT
Gaya unik menjadikan perniagaan Malfil laris. Foto/Facebook BN For Malaysia
BARU-baru ini rakyat Malaysia diperkenalkan dengan Spiderman yang menjual nasi lemak di bandar Kota Bharu, Kelantan.
Kelainan yang ditonjolkan itu bukan sahaja membuktikan rakyat Malaysia kreatif dalam mencari dan menambah pendapatan, tetapi juga memaparkan kegigihan mereka untuk berjaya.
Mungkin mendapat inspirasi daripada kejayaan gaya perniagaan unik itu, kini seorang lagi anak muda menggunakan resipi yang sama untuk menarik perhatian khalayak terhadap perniagaan yang diceburinya.
Mengambil tempat di Kota Kinabalu, Sabah, si peniaga yang dikenali sebagai Malfil Yusof, mengenakan kostum adiwira Deadpool dan menjual sarapan di sekitar Jalan Sulaman, Kota Kinabalu.
Ia ternyata membuahkan hasil kerana jualannya laris dan kebiasaannya akan habis dalam masa sejam. Pelanggan bukan sahaja datang untuk membeli sandwich dan kopi yang dijual, tetapi juga untuk bergambar bersama watak adiwira terkemuka itu.