Selepas berpuluh tahun, Anjang Mat selesa gunting rambut bawah pokok
Astro Awani
September 21, 2020 16:17 MYT
September 21, 2020 16:17 MYT
Penduduk Bintangor rata-ratanya kenal dengan Anjang Mat. Lelaki kurus, berkaca mata dan berusia lebih separuh abad itu cukup sinonim dengan imej gunting dan sikat di tangannya.
Ahamad Juki nama sebenarnya. Seorang tukang gunting rambut berusia 74 tahun yang selesa berkhidmat dengan caranya tersendiri.
Lambakan kedai gunting rambut yang tumbuh di pekan itu tidak langsung menggugat periuk nasinya. Seawal pukul 7 pagi dia sudah bersedia menunggu kehadiran pelanggan di bawah pokok tanpa kipas dan penyaman udara.
Pelanggannya pula tidak kisah menunggu. Yang penting potongannya kemas dan harga pula jauh lebih murah berbanding di tempat lain. Hanya RM6.
“Sebelum ini bayaran yang dikenakan hanya RM3, tetapi saya naikkan atas nasihat pelanggan sendiri, kerana ianya amat murah,”
Dulu, bayaran perkhidmatan yang saya kenakan kepada mereka hanya RM1 bagi dewasa dan Rm0.50 untuk kanak-kanak,” ceritanya kepada Astro AWANI.
Bagi Anjang Mat, dia tidak kisah sangat mengenai wang. Yang penting pelanggan berpuas hati dan pada masa sama dia boleh mendapat kenalan baharu.
Ini kerana pelanggan yang datang bukan hanya penduduk Bintangor, malah ada juga yang datang dari tempat lain.
“Pada hujung minggu, ada pelanggan yang datang dari Sibu, Sarikei, Julau, Entabai dan Pakan untuk bergunting rambut," katanya.
Sementara itu, bagi pelanggan setia, Iguh Nuli, hasil kerja Anjang yang kemas membuatkan ramai yang setia menunggu untuk mendapatkan khidmat gunting rambutnya.
“Sejak dulu lagi ketika saya masih bekerja di kawasan pesisir, dalam 10 tahun yang lepas, saya selalu mendapatkan khidmat Anjang.
“Kawan-kawan juga sentiasa memberitahu khidmat Anjang ini kemas dan teliti,” kongsinya.
Meniti usia senja, Anjang Mat berkata dia sedia membantu golongan muda yang mahu belajar daripadanya.
Kata Anjang Mat, ini bukan masa bagi anak muda memilih pekerjaan. Biarpun sekadar menjadi tukang guntng rambut, apa yang penting rezeki itu halal dan diusahakan atas titik peluh sendiri.
#Ahamad Juki
#Anjang Mat
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Bintangor
#Gunting Rambut Murah
#komuniti
#Sarikei